Tuesday, 19 December 2017

KEDUDUKAN BAITULMUQADDIS BAGI UMAT ISLAM


Baitulmuqaddis adalah satu daripada tiga tempat suci buat umat Islam. Ia juga dikenali dengan gelaran al-Quds As-Sharif (tempat yang suci).

Dalam isu mempertahan Baitulmuqaddis mempunyai hubungan langsung dengan kecintaan dan komitmen kita terhadapnya.

Perlu diketahui bahawa kesucian bandar ini menurut Islam adalah pada realiti sejarah keagamaannya. Bandar ini menjadi saksi kepada kehidupan dan kerja-kerja para nabi serta utusan Allah SWT. Di situ jugalah mereka menerima wahyu Allah secara berulang-ulang.

Jika Mekah dan Madinah adalah bandar yang diberkati dalam Islam kerana kaitannya dengan Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Nabi Muhammad SAW, begitu juga dengan Baitulmuqaddis. Lebih penting lagi, perkaitannya dengan nabi-nabi lain seperti Nabi Daud, Nabi Sulaiman. dan Nabi Isa.

Berdasarkan status agama dan teologi, Baitulmuqaddis menduduki tempat sangat istimewa dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW. Di sinilah kiblat pertama umat Islam dan Baginda berdiri mengerjakan solat menghadap ke arahnya sebelum Kaabah di Masjidilharam.

Malahan, di sini jugalah tempat terakhir perjalanan Israk Rasulullah SAW sebelum naik ke langit (Mikraj).

Firman Allah maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidilharam ke Masjidil Al-Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihat kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui,” (al-Israk:1).

Selepas melalui semua peristiwa ini, Nabi Muhammad SAW kembali ke Mekah. Peristiwa yang penuh dengan tanda-tanda dan petunjuk yang menakjubkan itu sehingga ramai pemikir Islam, pengkaji mistik dan penyair membuat pelbagai tafsiran.

Bagaimanapun, satu kesimpulan yang penting ialah Baitulmuqaddis menjadi contoh kepada ketaatan dan hubungan iman setiap Muslim.

Semua umat Islam perlu bersatu suara dan tegas memastikan bumi Baitulmuqaddis terus terpelihara.

Tindakan menceroboh bumi Baitulmuqaddis merupakan suatu bentuk rampasan serta jajahan yang mencabul hak kemanusiaan. Kini ia bukan lagi menjadi perjuangan rakyat Palestin tetapi menjadi tanggungjawab semua umat Islam seluruh dunia.

No comments:

Post a Comment