Friday 29 December 2017

JERING DIKELASKAN RACUN TAHAP SEDERHANA

Jering terkenal di Malaysia. Penggemar jering terdiri pelbagai bangsa. Di kalangan orang Melayu, jering dipelbagikan penggunaannya dari buah muda hinggakan yang sudah tua.

Jering mempunyai rasa yang pahit dan berbau. Ini menyebabkan golongan muda kurang menyukainya. Malah ia turut menyebab bau busuk pada najis lebih daripada biasa, tetapi tidak seteruk kesan makan petai. Selain itu kesan makan jering juga menyebabkan air kencing yang berbau hancing kuat.  

Jering yang dipilih untuk dijadikan ulam biasanya yang masih muda.  Isinya lembut dan mudah untuk dikenyah.  Isu buahnya menjadi keras apabila semakin tua.  

Jika buah tua terus dibiarkan, ia akan merengkah atau terbuka yang menyebabkan isinya terjatuh tetapi kulitnya, terutama bahagian tangkai akan terus kekal di ranting atau dahan pokok. Mungkin itu sebabnya dikatakan peribahasa tangkai jering.

Buah jering yang telah tua tidak sesuai dijadikan ulam kerana telah keras, kecuali mereka yang memiliki gigi yang kuat dan inginkan cabaran memakan jering. 

Namun, peminat jering masih berpeluang memakan jering tua dengan cara 'relung' atau menyimpan atau meletakkan isi buah jering di dalam pasir atau tanah yang basah.  

Buah itu akan mengembang untuk bercambah dan ketika itu isinya menjadi lebih lembut dan sesuai untuk dijadikan ulam.

Ia juga sebahagian proses untuk menyimpan agar isi jering boleh disimpan lama. Jering relung boleh dibiarkan berada di dalam pasir sehingga anak pokok jering mula tumbuh.

Selain itu, isi jering yang tua juga direbus. Biasanya untuk merebus jering tua mengambil masa yang lama.  

Proses merebusnya juga ada petua yang perlu diikuti seperti dicampurkan sama dengan abu, akar kelapa, besi dan pelbagai tambahan lain.  

Ini dikatakan untuk mengelak pemakannya terkena masalah untuk kencing. Secara teori sains, tujuan dimasukkan bahan-bahan itu untuk proses osmosis di mana kandungan kimia di dalam buah jering itu 'ditarik' keluar dan menjadikan ia lembut dan kurang berbau, selain mengurangkan kesan 'racun' yang terdapat di dalamnya.   

Buah jering rebus sedap dimakan bersama kelapa muda parut yang dicampurkan dengan gula dan sedikit garam.

Dari segi perubatan pula, biji jering mengandungi sejenis bahan alkoloid yang memberi rangsangan untuk membuang air kecil.

Bagi pesakit penyakit kencing manis pula, jering boleh menjadi penawar yang berkesan sekiranya diambil berterusan dengan kadar yang sedikit. Kerana kandungan sebatian alkoloid di dalam jering mampu meneutralkan kandungan gula dalam badan.

Jering dikelaskan sebagai racun serdahana kerana ia mempunyai asid yang menyebabkan keracunan. Ia menyebabkan "sakit mencucuk/berdenyut (spasmodic pain), penyakit gout, salur kencing tersekat dan kegagalan renal akut. Keadaan ini dapat diatasi dengan cara merebus yang dinyatakan di atas.

Kenapa jering berbau tidak menyenangkan? Seperti petai yang mempunyai bau yang kuat, penyebab bau itu sebenarnya adalah asid amino yang terkandung di dalam biji jering. Asid amino itu didominasi oleh asid amino yang mengandung unsur Sulfur (S).

Ketika dikunyah menjadi komponen yang lebih kecil, asid amino itu akan menghasilkan berbagai komponen yang sangat bau, kerana pengaruh sulfur tersebut. Salah satu gas yang terbentuk dengan unsur itu adalah gas H2S yang terkenal sangat bau.

No comments:

Post a Comment