Friday 5 January 2018

MUHASABAH DIRI TERIMA KELEMAHAN

Setiap manusia ada kekurangan diri. Namun, tidak ramai orang melihat kekurangan diri sendiri, sebaliknya suka mencari dan menceritakan kelemahan orang lain.

Kita suka memperkatakan keburukan orang, tetapi tidak suka dan meleting jika kelemaan kita diperkatakan oleh orang lain.

Setiap keburukan mesti diperbaiki. Permulaan untuk berubah kepada lebih baik ialah menilai atau melihat kekurangan diri. Apabila sedar kelemahan diri, maka mudah untuk kita memperbaikinya.

Tidak dinafikan, amat sukar kita mencari dan menerima kelemahan diri. Tetapi, itulah hakikatnya. Walaupun pahit, itu adalah lebih baik kerana bermuhasabah dapat membersihkan diri daripada kejahilan serta dosa.

Orang yang beruntung adalah yang sentiasa membuat pembetulan supaya dapat memperbaiki kecelaan diri dan menjadikannya mukmin lebih baik.

Imam al-Ghazali berkata, "Barang siapa yang sering bermuhasabah pada dirinya, nescaya dia akan temui keringanan pada hari akhirat kelak."

Muhasabah adalah perkara baik namun tidak disukai kerana kebanyakan manusia tidak suka untuk menilai dan melihat kekurangan diri sendiri.

Sikap angkuh dan berasa diri lebih baik menyebabkan kita tidak sedar keburukan yang dilakukan. Semakin diri berasa angkuh, lebih banyak keburukan dilakukan.

Muhasabah umpama ubat yang pahit, tidak enak namun ia adalah penawar yang mengubati seribu satu penyakit. Biar kita menelan kepahitan itu daripada keburukan terus menjadi racun dalam diri.

Sungguhpun menilai diri bukan sesuatu yang menyeronokkan, tetapi orang yang sering bermuhasabah akan dapat membersihkan diri daripada kejahilan, dosa dan noda.

Apa sahaja keburuk terus ditinggalkan sebelum semakin parah. Manakala kelemahan diperbaiki untuk menjadi lebih baik dan kuat.

Di akhirat nanti, semua amalan kita akan diperlihatkan atau diberi pembalasan, tidak kira besar mahupun kecil. Maka berhati-hatilah dengan kesalahan kecil yang jika dikumpul akan tetap menjadi besar.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Kami akan memasang timbangan yang tepat pada hari kiamat, maka tidaklah dirugikan seseorang barang sedikit pun. Dan jika (amalan itu) hanya seberat biji sawi pun pasti kami mendatangkan (pahalanya). Dan cukuplah Kami sebagai Pembuat perhitungan." (Surah al-Anbiya, ayat 47)

No comments:

Post a Comment