Saturday, 6 January 2018

MASIH ADA SUDI TEGUR KESALAHAN

Seorang mukmin perlu bersyukur dan berterima kasih jika ada orang lain tolong memperingatkan tentang kesalahan yang dia lakukan. Jangan anggap sikap orang itu sebagai menjaga tepi kain orang.

Sikap marah dan membantah apa yang diberitahu oleh orang lain akan menyebabkan keadaan semakin buruk. Cuba muhasabah diri dan menerima dengan fikiran terbuka.

Mungkin apa yang dinyatakan orang lain kepada kita itu benar dan ada yang palsu. Terimalah yang benar itu dan tolak yang palsu. Itulah namanya muhasabah diri. Bukannya dengan terus membantah dan menyalahkan orang lain.

Jika ada orang sanggup menegur kita, bemakna masih ada orang sayangkan kita. Mereka tidak mahu kita terus hanya dalam dosa dan maksiat.

Jangan kita ingat hanya dosa besar sahaja perlu dijauhi. Sedangkan dosa kecil pula dianggap perkara biasa. Ingatlah, yang kecil jika dihimpunkan juga akan menjadi besar.

Setiap dosa yang dilakukan akan menjadi satu titik hitam di hati. Lama kelamaan titik hitam yang banyak itu akan menutup keseluruhan hati sehingga tiada lagi peluang sinar keimanan memasukinya.

Di akhirat nanti, semua amalan kita akan diperlihatkan atau diberi pembalasan, tidak kira besar mahupun kecil. Maka berhati-hatilah dengan kesalahan kecil yang jika dikumpul akan tetap menjadi besar.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Kami akan memasang timbangan yang tepat pada hari kiamat, maka tidaklah dirugikan seseorang barang sedikit pun. Dan jika (amalan itu) hanya seberat biji sawi pun pasti kami mendatangkan (pahalanya). Dan cukuplah Kami sebagai Pembuat perhitungan." (Surah al-Anbiya, ayat 47)

Muhasabah adalah perkara baik namun tidak disukai kerana kebanyakan manusia tidak suka untuk menilai dan melihat kekurangan diri sendiri.

Sikap angkuh dan berasa diri lebih baik menyebabkan kita tidak sedar keburukan yang dilakukan. Semakin diri berasa angkuh, lebih banyak keburukan dilakukan.

Imam al-Ghazali berkata, "Barang siapa yang sering bermuhasabah pada dirinya, nescaya dia akan temui keringanan pada hari akhirat kelak."

Hidup di dunia hanya persinggahan sebelum menuju ke kampung akhirat yang kekal abadi. Justeru, hendaklah sentiasa berusaha mempersiapkan dirinya dengan perkara yang akan meningkatkan amal timbangan di akhirat kelak.

No comments:

Post a Comment