Sunday 28 January 2018

DIBOLEH MERAIKAN SAMBUTAN HARI IBU

Para ulama berselisih pandangan mengenai persoalan hukum meraikan hari ibu. Sesetengah ulama mengatakan ia bersifat bidah atau berdosa malahan ada yang ‘extreme’ sehingga mengharamkannya.

Profesor Tafsir dan Ilmu al-Quran di Universiti Al-Azhar, Dr Muhammad Bakar Ismail,  berpandangan sambutan Hari Ibu adalah harus kerana meraikan serta memuliakan ibu seperti pada hari ibu adalah bidah dalam perkara adat dan bukan ibadat.

Apa yang penting, sambutan hari ibu yang kita sambut itu tidak diniatkan dengan kaitan sambutan hari ibu yang diamalkan oleh penganut agama lain yang bersandarkan kepercayaan mereka. 

Anggaplah sambutan itu sebagai satu adat yang kita wujudkan untuk kebaikan. Dalam Islam sesuatu adat yang mendatangkan kebaikan dibenarkan. Sambutan itu dilakukan dalam ruang lingkup untuk meraikan ibu dan meletakkan kedudukan ibu pada tahap yang mulia. 

Sesungguhnya, Allah SWT memerintahkan agar kita memuliakan ibu dan bapa. Berdosa besar sesiapa yang mengabaikan kedua ibu bapanya. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Surah al-Isra, ayat 23)

Dengan termaktubnya hari ibu seharusnya dijadikan hari peringatan atau perayaan terhadap peranan seorang ibu dalam keluarganya, baik untuk suami, anak-anak, mahupun sesama manusia.

Pengorbanan ibu kepada anak itu tidak mungkin dapat dibalas dengan wang ringgit dan kemewahan semata-mata. Oleh itu, wajib anak berbuat baik dan berbakti kepada ibu mereka terutama selepas meningkat dewasa.

Firman Allah SWT: “Dan Kami perintahkan kepada manusia (supaya berbuat baik) kepada kedua orang tuanya, ibunya telah mengandungkannya dengan keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya selama dua tahun, bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua orang tuamu, hanya kepada Aku kembalimu.” (Surah Lukman, ayat 14)

Kita menyambut hari ibu bukan bermakna menyembah ibu sepertimana dilakukan oleh penganut agama lain yang menjadi tradisi mereka. Sesungguhnya, biarpun ibu diletakkan di tahap yang mulia, tidak pula bermakna kita menyembah ibu. 

Firman Allah SWT bermaksud: "Dan Tuhanmu telah mewajibkan supaya tidak menyembah selain dari-Nya dan berbuat baik kepada ibu bapa." (Surah al-Isra, ayat 23).

No comments:

Post a Comment