Saturday 23 June 2018

PENGARUH LUCAH PERANGKAP REMAJA

Remaja mudah tertarik unsur berkaitan seks. Imagenasi berkaitan seks mudah menguasi minda remaja hasil rangsangan naluri semulajadi manusia. Tindakan itu sesuai dengan peringkat umur remaja yang mula mengenali erti hubungan lelaki dan perempuan.  

Tahap pemikiran remaja belum matang sepenuhnya. Mereka mudah terpengaruh dan menerima apa yang dilihat dan didengar. Sebenarnya remaja secara psikologinya berada di peringkat metamorfosis genting sebelum mencapai usia matang. Pada peringkat tersebut, remaja perlu banyak diberi bimbingan dan bantuan dalam menghadapi pelbagai pengaruh negatif yang sentiasa dicipta oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Soal pengaruh seks di kalangan remaja sepatutnya mendapat perhatian utama semua pihak. Berdasarkan satu kajian mendapati lebih 50 peratus remaja di bandar mengaku pernah terlibat atau melakukan perbuatan berkaitan seks, sama ada melakukan hubungan seks, bercumbuan dan salah laku berkaitan seks seperti ononi dan menonton filem lucah.

Justeru, tidak lagi menjadi perkara gempar jika diketahui ada remaja perempuan yang masih bersekolah disahkan mengandung dan melahirkan anak. Kejadian seperti itu membuktikan betapa masalah sosial seks di kalangan remaja sudah berada di tahap membimbangkan dan memerlukan tindakan segera semua pihak untuk mengatasinya sebelum semakin merebak.

Peluang menonton filem yang mempamerkan aksi ghairah mudah merangsang kehendak remaja ingin mengetahui lebih lanjut dan kemudiannya melakukan perbuatan berkaitan seks. Sebab itu ramai remaja sanggup menghadapi apa juga kemungkinan akibat perbuatan itu. Sesungguhnya tarikan terhadap filem lucah lebih kuat dan mendorong minat meluap-luap.

Sesungguhnya remaja yang sudah melepasi tahap kematangan organ seks lebih mudah terpengaruh atau cenderung mengenai seks. Justeru, menonton filem atau buku lucah dijadikan jalan mudah mengetahui mengenai seks dan menikmati kepuasannya.

Dunia tanpa sempadan memudahkan remaja mendapat kandungan berunsur lucah. Jika dahulu, remaja hanya mengharapkan VCD dan buku lucah di pasaran gelap, nama sekarang ini ia dibawa dengan mudah masuk ke dalam rumah atau di mana-mana sahaja dengan kemudahan internet. Mereka boleh menonton di mana-mana sahaja melalui komputer mahupun gajet telekomunikasi seperti telefon pintar yang rata-rata dimiliki oleh remaja.

Dipercayai operasi pengedaran bahan lucah disokong oleh musuh-musuh Islam. Apabila ramai remaja Islam terpengaruh dengan bahan lucah, maka sebahagian kekuatan umat Islam telah hancur. Umat yang diracuni virus bahan lucah sentiasa melakukan pelbagai kesalahan berkaitan seks dan perbuatan terkutut lain.

Tidak dinafikan remaja memerlukan pengetahuan berkaitan seks, tetapi bukan melalui bahan lucah atau melakukan salah laku seks. Sebaliknya pendidikan berkaitan boleh diperoleh melalui buku-buku agama, buku psikologi, buku panduan kesihatan dan sebagainya. 

Menonton tayangan lucah sering dikaitkan sebagai perangkap mendorong melakukan hubungan seks. Lelaki sengaja mempelawa perempuan untuk sama-sama menyaksikan video lucah agar mudah terangsang untuk melakukannya.

Sebab itu awal-awal lagi perempuan perlu berhati-hati dan mengelak daripada tindakan mencurigakan. Biarpun siapa lelaki itu, kekasih, teman rapat dan tambah lagi baru dikenali, jangan mudah terpengaruh dengan sebarang ajakan yang meragukan tujuannya.

Sesungguhnya pergaulan bebas dan hubungan intim antara lelaki dan perempuan mudah mendorong berlakunya hubungan seks. Sebab itu Rasulullah telah mengingtkan agar lelaki dan perempuan tidak berada berdua-dua di tempat terlindung.

Didikan agama dan budi pekerti mulia merupakan cara terbaik mengelak remaja terbabit dengan gejala jenayah seks. Ibu merupakan orang paling bertanggungjawab mendidik anak-anak ke arah itu. Amat malang jika ibu bapa sendiri ketagih video lucah yang ditonton bersama-sama dengan anak remaja.

No comments:

Post a Comment