Sunday 1 July 2018

PERKARA 145 KUASA PEGUAM NEGARA

Peguam Negara merupakan penasihat undang-undang utama kepada Kerajaan. Peranan, tanggungjawab, perlantikan dan pemecatan beliau diperuntukkan dalam Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan iaitu daripada perkara 145(1) sehingga perkara 145(4).

Perkara 145(1) memperuntukkan kuasa Yang di-Pertuan Agong melantik seseorang yang berkelayakan untuk menjadi hakim Mahkamah Persekutuan sebagai Peguam Negara dan atas nasihat daripada Perdana Menteri.

Perkara 145(2) menyentuh mengenai kuasa Peguam Negara menasihati Yang di-Pertuan Agong, Jemaah Menteri atau Menteri-Menteri lain berkaitan dengan apa-apa sahaja undang-undang atau melaksanakan apa-apa sahaja tugas yang berkaitan dengan undang-undang.

Sebagai pegawai undang-undang tertinggi Negara, Peguam Negara berkewajipan untuk menasihati Yang Di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri mengenai apa-apa perkara yang bersifat undang-undang yang dirujukkan kepadanya dan menunaikan fungsi yang diberikan kepadanya oleh Perlembagaan dan undang-undang bertulis yang lain.

Dua kuasa utama yang diberikan kepada Peguam Negara oleh Perlembagaan Persekutuan adalah kuasa pendakwaan dan sebagai penjaga kepentingan awam iaitu hak yang diwarisi melalui undang-undang common.

Perkara 145(3) memperuntukkan kuasa Peguam Negara yang boleh dijalankan mengikut budi bicaranya iaitu untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding jenayah yang membabitkan sesuatu kesalahan selain prosiding di hadapan mahkamah Syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.

Perkara 145(3A) memperuntukan kuasa undang-undang untuk memberi kuasa kepada Peguam Negara untuk menentukan mahkamah bagi menjalankan apa-apa prosiding dan peguam kuasa berkuasa untuk memulakan prosiding seperti yang diperuntukan dalam perkara 145(3) dan jika terdapat prosiding lain hendak dijalankan di mahkamah itu, maka prosiding itu perlu dipindahkan.

Kuasa budibicara yang diberikan kepada Peguam Negara di bawah Perkara 145(3) adalah mutlak, tidak boleh dicabar atau digantikan oleh mana-mana kuasa termasuk Mahkamah. Dalam erti kata lain, jika mana-mana pihak tidak bersetuju dengan tindakan Peguam Negara dalam mengendalikan sesuatu pendakwaan, maka mereka tidak mempunyai asas untuk mencabarnya di mana-mana korum.

Jelas, Perkara 145(3), akan membawa kepada suatu pemahaman bahawa Perlembagaan telah menyerahkan ke dalam tangan Peguam Negara kuasa budibicara yang mutlak untuk memulakan, menjalankan dan memberhentikan prosiding kesalahan jenayah.

Bagi memberikan kesan terhadap perjalanan kuasa itu, di bawah Perkara 145 (3A), Peguam Negara juga dibenarkan untuk menentukan mana-mana mahkamah bagi sesuatu prosiding jenayah dimulakan dan dipindahkan.

Kuasa kawalan pendakwaan Pendakwa Raya di bawah Perkara 145(3) perlu sentiasa dipatuhi dan tidak boleh dikompromi oleh mana-mana agensi penguatkuasa di mana sebarang ketidakpatuhan akan mengakibatkan pendakwaan menjadi tidak sah dan terbatal.

Sebarang undang-undang yang bertentangan dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan yakni memberikan kuasa mendakwa kepada pihak lain selain Peguam Negara adalah tidak sah dan terbatal.

Keputusan dalam mentadbir pendakwaan kes jenayah bukanlah sesuatu yang mudah bagi Peguam Negara. Sudah menjadi keperluan, beliau tertakluk kepada kewujudan bukti yang mencukupi, sekurang-kurangnya suatu kes prima facie boleh dibuktikan di mahkamah. Paling tidak dalam beberapa kes, terdapat keadaan yang termasuk dalam ‘kawasan kelabu’ di mana keputusan untuk tidak mendakwa juga dibuat atas kepentingan awam iaitu alasan kenapa Peguam Negara diberikan kuasa untuk membentikan pendakwaan.

Kuasa budibicara untuk memberhentikan sesuatu prosiding jenayah boleh dilaksanakan pada bila-bila peringkat perbicaraan sebelum penghakiman disampaikan.

Peguam Negara juga mempunyai fungsi yang tidak kurang penting berhubung dengan prosiding sivil di mahkamah di mana kerajaan atau mana-mana agensinya merupakan pihak dalam pertikaian tersebut.

Dalam era teknologi maklumat dan perkembangan ekonomi yang begitu pesat, peranan Peguam Negara dalam aspek ini telah begitu jauh berbeza dari masa lepas. Kepentingan awam adalah keutamaan dalam menyelesaikan kes-kes-kes sivil di mana terdapat situasi Peguam Negara perlu masuk campur bagi menghalang dari berlakunya penipuan komersil walaupun sebelum berlakunya penipuan itu iaitu dengan mengambil langkah-langkah pencegahan melalui nasihat kepada kerajaan supaya sesuatu kes tidak perlu dipertikaikan di mahkamah kelak.

Peranan Peguam Negara dalam pentadbir prosiding jenayah dan sivil lebih jelas berbanding kuasanya sebagai penjaga kepentingan awam.

Perkara 145(4) menyatakan dalam menjalankan tugasnya, Peguam Negara berhak untuk didengar di mana-mana mahkamah atau tribunal di Persekutuan dan hendaklah diberi keutamaan daripada mana-mana orang lain yang hadir di hadapan mahkamah atau tribunal.

Walaupun Peguam Negara mempunyai kuasa budibicara untuk menjalankan prosiding jenayah, ianya tidak termasuk tatacara jenayah dan bidangkuasa mahkamah.

Sejarah telah membuktikan dalam menjalankan tugas awamnya, Peguam Negara telah menggunakan kuasa budibicara dengan berhati-hati dan bertanggungjawab bagi menegakkan keadilan tanpa mengira kedudukan, pengaruh dan fahaman politik kerana undang-undang hendaklah sentiasa dihormati.

Tegas di sini, kuasa Peguam Negara dalam Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan adalah suatu yang mutlak dan tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak.

Melalui perkara 145, keseluruhannya bidang kuasa Peguam Negara meliputi menjadi penasihat utama tentang undang-undang kepada kerajaan. Peguam Negara juga merupakan pendakwa raya dan diberi kuasa untuk memula, menjalankan atau memberhentikan mana-mana prosiding jenayah kecuali di Mahkamah Syariah, Mahkamah Bumiputera dan Mahkamah Tentera. Peguam Negara juga bertanggungjawab bagi penggubalan perundangan bagi Kerajaan Persekutuan dan juga peguam bagi kerajaan di mahkamah dan berhak didengar di mana-mana mahkamah. Peguam negara juga bertugas merangka rang undang-undang Parlimen.

No comments:

Post a Comment