Saturday 7 July 2018

ISLAM JAMIN KESELAMATAN BUKAN ISLAM

Islam mementingkan keadilan kepada semua manusia tanpa mengira agama dan bangsa. Orang bukan Islam yang tinggal di dalam negara Islam dan mengaku patuh kepada pemerintah negara dipanggil kafir zimmi. Mereka mendapat hak dan keistimewaan sebagai rakyat sepertimana dinikmati orang Islam. 

Biarpun, berlainan agama ia tidak menghalang daripada mewujudkan persefahaman, perpaduan dan berkongsi apa yang dimiliki. Malah, Islam menyuruh agar berbuat baik kepada sesiapa sahaja yang tidak memerangi Islam. Setiap orang berhak mendapat kesejahteraan daripada umat Islam, selagi mereka tidak melakukan tindakan provokasi atau berniat buruk terhadap umat Islam.

Firman Allah dalam surah al-Mumtahanah ayat 8 bermaksud: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.”

Sikap saling menghormati dan membenarkan setiap penganut agama lain melakukan apa diperintahkan oleh agama mereka merupakan tanda tolak ansur Islam terhadap kepercayaan agama lain. 

Layanan diberikan kepada penganut agama lain bukan setakat memberi kebebasan dalam amalan agama, bahkan dihormati sumbangan mereka berikan seperti pendapat dan tenaga untuk membangunkan negara. 

Bahkan dijelaskan agar kita melakukan sesuatu yang lebih baik daripada apa mereka sangkakan. Apa dilakukan merupakan sebahagian daripada usaha dakwah. Keterbukaan, toleransi, keselamatan dan kesejahteraan yang ditawarkan oleh Islam kepada bukan Islam merupakan bukti Islam agama universal.

Ketika Rasulullah membuka kota Makkah, ramai penduduk di kalangan Musyrikin tidak menyangka apa akan dilakukan oleh Rasulullah terhadap mereka. Ramai menyangka mereka akan dikenakan hukuman bunuh atau setidak-tidaknya akan dirampas harta benda mereka dan kemudian dihalau dari kota Makkah. 

Sebaliknya, Rasulullah memberi kebebasan dan kemaafan terhadap semua penduduk tanpa mengira tindakan jahat yang perlu dilakukan Musyrikin terhadap baginda. 

Tindakan Rasulullah itu ternyata satu dakwah yang berkesan. Ramai Musyrikin tertarik kepada Islam dan menganutnya. Mereka yakin kepada keperibadian Rasulullah dan ajaran yang dibawa oleh baginda. 

Hubungan baik dengan penganut agama lain merupakan satu perintah yang jelas. Firman Allah bermaksud: “Dan jangalah kamu berbincang dengan ahli kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang berlaku zalim di antara mereka.” - (Surah al-Ankabut, ayat 46).

Suruhan menghormati orang bukan Islam bertujuan melahirkan kehidupan masyarakat yang aman, selamat, sejahtera dan tolong menolong. Tentulah hidup masyarakat tidak aman jika amalan permusuhan berlaku secara berterusan.

Dalam negara majoriti penganut Islam, tentulah Islam lebih berkuasa. Tetapi bagaimana nasib orang Islam yang tinggal di negara majoriti penduduknya bukan Islam. Jika penganut Islam bertindak secara kekerasan terhadap bukan Islam, sudah pasti nasib yang sama akan dialami orang Islam di negara bukan Islam.

Ketika Rasulullah mula berhijrah ke Madinah, satu perjanjian dibuat dengan orang bukan Islam yang dinamakan Perlembagaan Madinah. Melalui perlembagaan tersebut, masing-masing pihak, yakni orang Islam dan orang bukan Islam, mendapat hak asasi manusia tanpa mengira agama, bangsa dan darjat. 

Dalam perlembagaan itu dengan jelas menyebut tentang kebebasan bersuara dan beragama, selain hak keselamatan diri dan harta benda, kehormatan diri, pemilikan harta benda dan perhubungan.

Memandangkan orang bukan Islam mendapat hak sebagaimana orang Islam, maka adalah menjadi tanggungjawab orang bukan Islam mempertahankan negara Madinah bersama-sama orang Islam. 

Malangnya orang bukan Islam, terutama di kalangan orang Yahudi sentiasa mencari helah untuk menghancurkan Islam. Mereka bersikap talam dua muka dengan melaga-lagakan penduduk Madinah agar timbul permusuhan dan saling mencurigai. 

Perkara ini bertambah buruk lagi apabila ada orang Islam menjadi munafik, yakni berpura-pura memeluk Islam, sedangkan ia tidak dilakukan dengan ikhlas dan kepercayaan yang sebenar-benarnya.   

Justeru, bagi memberi satu pengajaran dan amaran kepada sesiapa sahaja berniat jahat, maka pemerintah Islam melakukan tindakan memerangi kaum Yahudi daripada Bani Quraizah, Bani Qainuqa dan Bani Nadir yang mengkhianati perjanjian Madinah.

Pihak yang memerangi bukan Islam dengan alasan ingin membina kekuatan Islam atau membina monopoli Islam sebenarnya melakukan tindakan salah dan membuta tuli. Mereka tidak memahami intipati Islam yang sebenarnya.

Disebabkan segelintir orang Islam sedemikianlah, maruah dan nama baik Islam tercemar di mata orang bukan Islam. Islam dianggap sebagai agama anti perdamaian dan suka mencetuskan keadaan huru hara. 

Kenyataan pada hari ini, kejayaan umat Islam banyak bergantung dengan adanya kerjasama dengan orang bukan Islam. Tambahan sekarang, kekuatan ekonomi, ketenteraan, keilmuan dan kuasa berada di tangan orang bukan Islam.

No comments:

Post a Comment