Monday 9 July 2018

MENGAPA MESTI PILIH PASANGAN SEKUFU

Mencari pasangan hidup bukan perkara boleh diambil mudah. Berkahwin tidak semudah seperti menukar kereta yang boleh dilakukan apabila tidak menyukai, tertarik pada yang lain atau sudah bosan menggunakannya. Oleh itu proses pemilihan pasangan perlu dilakukan dengan teliti.

Nabi Muhammad memberi panduan yang terbaik bagimana mencari pasangan hidup. Sabda Rasulullah bermaksud: “Dikahwini wanita itu kerana empat perkara iaitu harta kekayaannya, keturunannya, kecantikannya, dan agamanya. Maka utamakanlah wanita yang kuat beragama, nescaya sejahtera hidupmu.” (Hadis riwayat Bukhri dan Muslim).

Hadis itu menyebut mengenai ciri-ciri wanita yang perlu dipilih lelaki menjadi calon isteri. Namun panduan itu sesuai juga dijadikan garis panduan bagi wanita memilih calon suami. Wanita juga mempunyai hak menentukan calon suami.  

Konsep ibu bapa menentukan calon suami untuk anak gadisnya sesuai sekiranya tidak ada pilihan lain. Pergaulan wanita semakin luas, dan tentunya ada lelaki yang menjadi idamannya.    

Tambahan, sosial hidup masyarakat sekarang telah banyak berubah. Wanita kini telah melalui perubahan yang ketara termasuk dalam soal pendidikan dan kerjaya. Wanita moden kebanyaknya memiliki pendidikan yang setara dengan lelaki dan memperoleh kerjaya yang setanding lelaki.

Justeru, keadaan ini perlu diberi perhatian dalam memilih calon suami. Tidak sesuai jika wanita berkerjaya dan mempunyai kedudukan tinggi memilih pasangan yang lebih rendah kedudukan daripadanya.

Ini bukan satu ketentuan mutlak. Hukum fikah membenarkan memilih pasangan tanpa melihat kedudukan, kekayaan dan pendidikan. Maknanya, dibolehkan wanita mempunyai kedudukan tinggi berkahwin dengan lelaki yang tarafnya lebih rendah.

Bagaimanapun, Islam telah memberi panduan yang lebih baik untuk memilih calon isteri atau suami. Ini bagi mewujudkan kehidupan rumahtangga lebih serasi dan dapat dilayari dengan tenteram.

Dalam Islam ada panduan yang disebut keserasian (kufu) yang perlu diambil kira dalam pemilihan pasangan hidup. Kufu bukan sekadar dilihat pada taraf kerjaya, kekayaan, dan kedudukan di mata masyarakat. Sebaliknya soal berkaitan kufu turut merangkumi pelbagai aspek yang diketahui berkaitan calon pasangan masing-masing. 

Kufu adalah istilah yang digunakan ulama dalam bab perkahwinan yang dimaksudkan sepadan atau secocok antara suami dan isteri. Islam mementingkan soal kufu kerana menjadi faktor menjamin kebahagiaan hidup berumah tangga. 

Banyak pasangan berdepan dengan krisis rumahtangga disebabkan tidak sekufu. Dalam istilah bahasa disebut perbezaan antara dua darjat, pendapat, cita rasa, pemikiran dan kebiasaan yang dilakukan. 

Sebab itu, amatlah penting ketika pengenalan atau merisik, hal mengenai diri calon hendaklah dijelaskan. Bagaimanapun, bagi perkara yang mengaibkan, tidak wajib didedahkan. Tetapi, jika dirasakan perkara itu patut didedahkan, itu adalah lebih baik bagi mengelak timbul masalah pada masa hadapan.

Dalam kes suami tidak mendedahkan kedudukan sebenar mengenai dirinya, kemudiannya selepas akad nikah baharu isteri atau walinya mengetahui hal sebenar, para ulama berpendapat adalah harus bagi isteri atau walinya menutut fasakh untuk memutuskan ikatan perkahwinan.  

Ini membuktikan betapa pentingnya berkaitan kufu. Calon suami atau isteri yang menyembunyikan tentang dirinya bermakna tidak ada keikhlasan atau ada niat ingin menipu. Sedangkan, urusan perkahwinan amat memerlukan kejujuran, telus dan menghargai pasangan masing-masing.    

Mengikut sudut syarak, ulama memberikan pelbagai aspek perlu dilihat berkaitan kufu. Imam Hanafi, Maliki, Hambli dan Syafie menjelaskan maksud persamaan kufu dilihat dari sudut keturunan, keagamaan, pekerjaan, fizikal, keilmuan dan harta.

Aspek kufu lain ialah umur, hubungan kekeluargaan, minat, bangsa, gaya hidup dan lokasi tempat tinggal. 

Namun yang lebih penting ialah dilihat berkaitan dengan keagamaan. Wanita perlu memilih calon suami yang dapat membimbingnya dalam soal agama. Lelaki adalah ketua keluarga, bertanggungjawab dalam urusan mendidik isteri dan anak melaksanakan amalan suruhan Allah. 

Diriwayatkan dalam surah kisah, seorang lelaki datang menemui Hasan bin Ali, untuk mendapat nasihat. Katanya: “Anak perempuan aku dipinang oleh beberapa orang lelaki. Lelaki bagimanakah yang layak dikahwinkan dengan puteriku?”

Lantas Hasan menjawab: “Kahwinkanlah dia dengan lelaki yang bertakwa kepada Allah, kerana jika dia menyukai isterinya dia pasti mengasihinya, tetapi jika dia tidak menyukai isterinya pasti dia tidak akan berlaku zalim terhadapnya.”

Sesungguhnya lelaki bertakwa tidak bertindak sesuka hati terhadap isteri. Isteri dilayan dengan baik kerana itu amanah Allah. Sebaliknya, jika didapati tidak wajud persefahaman, maka dilakukan perceraian dengan cara yang baik dan mulia.

Penelitian soal kufu bukan bertujuan menyukarkan soal pemilihan pasangan hidup. Sesungguhnya Islam amat menggalakkan agar umatnya berkahwin. 
 
Antara urusan yang tidak patut ditangguh apabila tiba masanya ialah berkaitan mendirikan rumahtangga. Malah dikatakan keistimewaan seseorang gadis ialah apabila jodohnya cepat.

Namun, soal kufu hendaklah diberi perhatian, biarpun mungkin mengambil masa lebih lama. Setiap ikatan perkahwinan bertujuan kekal hingga ke akhir hayat. Segala urusan hidup suami isteri dikongsi bersama. Jadi, tentulah tidak selesa jika tidak sekufu. 

Kedudukan tidak sekufu biasanya mudah mengundang perselisihan kefahaman, gaya hidup berbeza, minat yang tidak sehaluan dan sukar memahami kehendak pasangan. Akibat keadaan itu boleh menggoncangkan kehidupan rumah tangga. 

Memang tidak dinafikan terlalu sukar untuk mencari pasangan yang sekufu sepenuhnya. Di sinilah perlunya tolak ansur, saling memahami, sanggup berkorban dan bersedia berubah untuk mewujudkan keadaan seakan sekufu bagi membolehkan melayari bahtera perkahwinan.

Tidak dinafikan ikatan perkahwinan memerlukan pengorbanan. Inilah satu hakikat yang tidak dapat ditolak dalam istilah perkahwinan. Antara lelaki dan wanita memerlukan kesefahaman bagi membolehkan berlaku perkongsian dalam alam perkahwinan. 

Dalam keadaan sekarang, wanita semakin sukar untuk memilih lelaki yang sekufu, terutama dalam aspek kelulusan pengajian dan kerjaya. Kini, bilangan wanita berkelulusan tinggi semakin bertambah. Bilangan mahasiswi lebih ramai daripada mahasiswa di pusat pengajian tinggi. 

Hasil memiliki pendidikan yang tinggi membuka peluang untuk wanita memiliki kerjaya yang baik dan menampa kejayaan dalam kerjaya. Semakin banyak wanita yang dilantik ke jawatan tertinggi di kementerian, jabatan dan sektor. 

Di sinilah perlunya suami memahami kerjaya isteri. Sokongan suami banyak membantu wanita untuk mencapai kejayaan dalam hidup. Hakikat ini perlu disedari sejak sebelum perkahwinan. Suami perlu mengambil keputusan tegas dan memahami kesan tindakan yang dilakukan. 

Segala aspek hidup berumah tangga perlu dilihat jauh ke hadapan. Kegagalan melihat jauh ke hadapan banyak menyebabkan perkahwinan yang telah berusia puluhan tahun berakhir dengan perceraian. 

Memang tidak dinafikan, urusan hidup masa depan hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Tetapi kita perlu merancang apa yang sepatutnya berlaku terhadap diri kita, isteri dan keluarga. 

Oleh itu fikirkan secara mendalam segala kemungkinan yang terpaksa ditempuh di alam perkahwinan, sebelum seorang wanita mengambil keputusan berkahwian dengan seorang lelaki. Pun, syarat ketat sebelum berkahwin tidak seharusnya membantut hasrat untuk berkahwin.

No comments:

Post a Comment