Wednesday 11 July 2018

CONTOHI PERJUANGAN RASULULLAH

Perjuangan Rasulullah dalam menegakkan Islam perlu dijadikan contoh oleh setiap Muslim. Baginda diutuskan sebagai pembawa rahmat dan memandu manusia ke arah kehidupan yang diredai Allah.  

Sebagai umat Nabi Muhammad, setiap Muslim mesti mengikuti jejak langkah dan apa yang diajarkan oleh baginda untuk mencapai kejayaan hidup di dunia dan akhirat.

Sunah Rasulullah adalah panduan yang terbaik untuk manusia, selain al-Quran yang menjadi mukjizat paling agung untuk seluruh umat Islam dari mula sehinggalah ke hari kiamat.

Kegagalan umat Islam disebabkan tidak mengikut al-Quran dan sunah. Umat Muhammad kini banyak yang tersasar daripada akhlak Rasulullah.

Umat Islam semakin terikut-ikut dengan budaya orang kafir dalam segenap aspek kehidupan yang membawa kepada kehancuran hidup, tetapi tidak pula mencotohi perkara baik seperti kegigihan menuntut ilmu dan bekerja.

Umat Islam perlu berlumba atau bersaing dengan penganut agama lain dalam mengejar penguasaan ilmu dan ekonomi agar tidak ketinggalan yang menyebabkan ditindas dan dihina.  Sesungguhnya, Islam menyediakan satu cara hidup terbaik termasuk dalam soal mencari rezeki dan mencari kemajuan.

Islam tidak menegah umatnya mengejar mencari kekayaan, bahkan ia satu amalan yang amat dituntut dikira sebagai ibadat jika dilakukan mengikut tuntutan agama.

Nabi Muhammad sejak kecil sudah menggembala kambing dan berdagang untuk mencari rezeki dan baginda sentiasa menyuruh para sahabat agar sentiasa gigih mencari rezeki. Melalui kekayaan yang dimiliki umat Islam dapat memenuhi keperluan hidup dan membantu sesama Muslim.

Umat Islam akan lebih dihormati dan berkuasa jika memiliki sumber kewangan yang kuat dan sekaligus tidak akan menjadi mangsa kepada kuasa lain yang ingin memusnahkan umuat Islam.

Antara faktor yang menyokong kejayaan dakwah Rasulullah adalah hasil bantuan kewangan yang disumbangkan oleh para sahabat yang kaya. Mereka menyerahkan kekayaan masing-masing sebagai zakat ataupun sedekah untuk mengembangkan Islam. Isteri Rasulullah, Siti Khadijah adalah seorang hartawan yang banyak membantu menyerahkan segala kekayaan yang dimiliki semata-mata untuk tujuan dakwah.

Bayangkan jika Rasulullah dan para sahabat semuanya miskin yang tidak mampu untuk memenuhi keperluan hidup sehingga terpaksa meminta bantuan pihak lain?

Justeru, kekayaan adalah alat untuk meletakkan umat Islam pada kedudukan yang lebih baik. Perkara ini hanya dapat dilaksanakan jika setiap Muslim menguasai ilmu dan berusaha gigih dalam setiap bidang yang diceburi.

Umat Islam perlu menyimpan azam untuk memperbaiki kehidupan agar menjadi umat terbaik di dunia dan akhirat. Namun diakui tugas itu bukanlah mudah dan memerlukan kerja kuat, keazaman serta keyakinan untuk berjaya. Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Umat Islam tidak seharusnya hanya mengutamakan akhirat semata-mata sehingga meninggalkan langsung urusan duniawi kerana itu lebih merugikan umat Islam di dunia dan di akhirat.

No comments:

Post a Comment