Tuesday 17 July 2018

KEMPEN MAKAN BUAH-BUAHAN DI SEKOLAH

Musim buah datang serentak melibatkan banyak jenis buah. Masa durian gugur, ketika itu juga musim buah manggis bermula. Ketika itu juga buah rambutan sudah kuning dan merah sedia untuk dipetik. Ketika musim buah menjadi, seluruh kampung akan diwarnai dengan buah-buahan. Ketika itu, penawaran melebihi permintaan. Harga buah menjadi jatuh dan kadang-kadang tidak laku untuk dipasarkan.

Di sinilah pentingnya ada pihak mengambil daya usaha untuk meningkatkan kesedaran rakyat untuk makan buah-buahan. Tidak semua orang memiliki kebun dan tidak semua kebun ada semua jenis buah-buahan. Jadi, usaha untuk menyebar luas pemasaran buah perlu dibuat.

Tindakan Sekolah Kebangsaan Nik Daud (SK Nik Daud), sebuah sekolah kebangsaan yang terletak di Kampung Jakar, Jalan Tanah Merah – Jeli mengadakan kempen makan buah-buahan harus dipuji. Kempen yang diadakan dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru itu bukan sahaja dapat memberi peluang kepada pelajar, guru dan ibu bapa menikmati pelbagai jenis buah, tetapi juga dapat mengeratkan hubungan ibu bapa dan guru.

Sekolah Kebangsaan Nik Daud terletak kira-kira 7 kilometer dari pekan Ayer Lanas dan 30 kilometer dari bandar Tanah Merah. Dari jalan utama Tanah Merah – Jeli (Lebuh raya Timur Barat) jaraknya kira-kira 1.6 kilometer.

Kawasan di Ayer Lanas memang terdapat banyak kebun buah-buahan seperti durian, manggis dan rambutan.

No comments:

Post a Comment