Saturday 21 July 2018

CARA PUPUK SIKAP PEMAAF DI DALAM DIRI

Sifat pemaaf lahir dari jiwa dan hati tenang hasil daripada tarbiyah berterusan. Sebab itu, selalulah memupuk sifat pemaaf. Bermulalah dengan perkara yang kecil dan mudah hilang sifat marah.

Jika ada sesuatu yang menimbulkan perasaan marah, berfikirlah sejenak untuk terlebih dahulu menilai atau muhasabah diri sendiri terlebih dahulu. 
 
Renungkan dalam hati sendiri adakah perkara itu juga berpunca dari kita sendiri? Adakah sebelum ini kita telah mengambil langkah yang wajar untuk mengelak perkara itu daripada berlaku?   

Dengan adanya perasaan itu, kita akan merasakan kali ini orang lain melakukan sesuatu yang kita tidak suka, dan mungkin pada masa lain pula kita dengan tidak sengaja maupun tidak sengaja melakukan terhadap orang lain. 

Kita tentunya mahu kesalahan yang kita lakukan itu dimaafkan orang lain. Jadi, sebagai permulaan biarlah kita dahulu maafkan orang lain.

Jika kita mampu berfikir sedemikian, cahaya kebenaran mudah memasuki ruang hati dan memberi petunjuk apakah tindakan yang wajar dilakukan seterusnya. Pada ketika itu syaitan tidak berpeluang untuk menyemarakkan perasaan marah, yang lahir adalah keinsafan dan sifat memaafkan.

Perasaan marah yang melampau tidak jauh bezanya dengan kemabukan. Ketika itu kewarasan fikiran telah hilang. 

Kehilangan rasa tenang adalah satu petanda kemarahan sedang menguasai minda dan hati. Pada ketika itu, tidak boleh berlaku sedikit kesilapan terhadap dirinya, terus dianggap punca menaikkan lagi perasaan marahnya dan melarat kepada hal-hal lain.

Sifat pemaaf memberi manfaat yang besar kepada diri sendiri terutama dari segi rohani. Orang yang bersifat pemaaf selalu dalam keadaan tenang, hati yang bersih, berfikiran terbuka, mudah diajak berunding dan sentiasa menilai diri sendiri untuk melakukan kebaikan.

Bagi orang yang bersifat pemaaf, padanya tiada seorang pun dalam hatinya tersimpan perasaan marah. 
 
Bahkan, dia seperti telah 'prepaid' memaafkan orang lain sebelum kesalahan dilakukan. Sebab itu, hati orang bersifat pemaaf tidak mudah terbakar dengan provokasi atau situasi menekan terhadap dirinya. 

Banyak masalah berkaitan hubungan sesama manusia berpunca sifat marah dan membalas dendam. Biarpun perselisihan kecil, perkara itu tidak dapat diselesaikan disebabkan perasaan dendam masih bertapak di hati. 

Sikap berdendam hanya merugikan kedua-dua pihak. Paling tertekan ialah pihak yang lebih banyak berdendam. Hatinya tidak tenteram dan sentiasa ada perasaan buruk sangka.   
 
Kadangkala, yang berdendam hanya sebelah pihak. Sedangkan, sebelah pihak lagi menganggap persengketan sebelum ini telah selesai. 

Perasaan marah berterusan tidak menguntungkan mana-mana pihak. Membalas dendam dan membuat sesuatu mendatangkan kemrahan pihak lain akan menambah kekusutan dan permasalahan. 
 
Menang jadi arang, kalah jadi abu. Lebih menguntungkan jika kita mengamalkan sifat pemaaf yang pastinya mendatangkan kebaikan.

Jika sifat memaafkan diamalkan, insyaalah, kita juga tidak akan menanggung kemarahan daripada orang lain. Sesungguhnya Allah terlebih awal memberi keampunan dengan rahmat-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Janganlah sampai bersumpah-sumpah, orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kekayaan antara kamu, bahawa mereka tidak akan memberi lagi kepada kaum kerabat, orang-orang miskin dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah.   
 
"Tetapi hendaklah mereka memberi keampunan dan berlapang dada. Tidakkah kamu mahu jika Allah mahu memberi keampunan kepada kamu sekalian." (Surah an-Nur, ayat 22).

No comments:

Post a Comment