Monday 30 July 2018

PERSOALAN MENGENAI STATUS NEGARA ISLAM

Persoalan berkaitan status negara sama ada negara Islam (dar al-Islam), negara bukan Islam yang memerangi Islam (dar al-harb) dan negara Islam yang tidak memerangi Islam (dar al-Ahd) hanya dibincangkan di kalangan ulama terkemudian. 

Negara-negara Islam di seluruh dunia sekarang membuat perisytiharan negara masing-masing sebagai Islam berdasarkan kepada kefahaman dan juga keinginan berbuat demikian. Berdasarkan kepada peraturan Barat, mana-mana negara yang penduduknya majoriti Islam, dianggap negara Islam dan begitulah sebaliknya.

Bagaimanapun, mengikut ulama fikah ada syarat menentukan sesebuah negara Islam atau tidak. Syeikh Muhammad Abu Zuhrah menyebut bahawa ‘negara Islam ialah negara yang berada di bawah kuasa pemerintah Islam, dalam mana kekuatan dan pertahanannya berada di tangan umat Islam’. Negara seperti ini wajib dipertahankan oleh setiap Muslim.

Muhammad bin Hassan as-Syaibani pula mentakrif negara Islam sebagai ‘negara yang dikuasai oleh umat Islam, dalam mana orang-orang Islam boleh keamanan di dalamnya.

Berdasarkan kepada dua definisi itu, sahlah Malaysia sebagai negara Islam. 

Apapun, kepentingan sebenar status negara Islam ialah pengisian kepada makna Islam dalam kehidupan lebih penting diberi perhatian. Bertelingkah dalam masalah menentukan negara Islam atau bukan negara Islam tidak mendatangkan apa-apa keuntungan.   

Rakyat di Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan budaya hidup dalam suasana aman, harmoni, sejahtera dan selamat. Setiap rakyat bebas menganut kepercayaan dan mengamalkan cara hidup masing-masing sepertimana ditetapkan dalam perlembagaan.

Orang Melayu yang beragama Islam adalah tonggak pemerintahan negara dan memegang hak keistimewaan, tanpa mengabai dan menindas bangsa-bangsa lain. Setiap rakyat dilayan sama rata dari segi mendapat hak dan keadilan.

Keadaan ini jauh berbeza berbanding beberapa buah negara Islam lain dilanda perang saudara, perebutan kuasa dan ancaman pihak luar. Keadaan itu berpunca akibat tidak bersatu dan masing-masing menganggap puaknya lebih baik sehingga sanggup bermusuhan sesama sendiri.

Apa yang dinikmati umat Islam di Malaysia sudah ‘memadai’ memenuhi asas ditakrif sebagai negara Islam. Pun, kualiti dan nilai sebenar negara Islam bergantung kepada apa yang diamalkan dan mampu dicapai oleh rakyatnya.  Islam tidak menilai pada nama semata-mata.

Satu perkara mesti ditekan bagi sebuah negara Islam ialah kemajuan dari segi pembangunan fizikal dan rohani masyarakat. Perkara ini lebih penting diberi penekanan berbanding nama dan slogan semata-mata. Ada pihak yang berselindung di sebalik nama untuk meraih sokongan, tetapi tidak mampu untuk membawa umat Islam ke arah kehidupan sepertimana kehendak agama.  

Hakikat bahawa Malaysia adalah negara Islam paling ke hadapan dalam segenap aspek pembangunan yang menjadi contoh kepada negara-negara Islam dan juga negara bukan Islam tidak dapat dinafikan lagi. Kejayaan ini hasil usaha kerajaan yang sentiasa mementingkan usaha pembangunan fizikal dan rohani untuk kepentingan rakyat.  

Malaysia kini memiliki pasarana kelas pertama dengan sistem pengakutan moden, lapangan terbang besar, pelabuhan yang mampu mengendalikan kapal terbesar, perkhidmatan perbankan, takaful, penghasilan peralatan teknologi moden dan meneroka bidang angkasa lepas.

Sesuatu dasar atau konsep yang diperkenalkan kerajaan memerlukan sokongan padu daripada rakyat.  Inilah resipi kejayaan yang dicapai negara selama ini.  Semua pihak perlu berganding bahu membangunkan negara, biarpun berlainan ideologi politik.

Mentaati pemerintah adalah sebahagian tuntutan Islam. Kerajaan tidak dapat menjalan tanggungjawab dengan baik jika rakyat tidak memberi sokongan terhadap rancangan dan dasar yang diatur untuk kepentingan semua pihak. 

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasulullah dan kepada ‘ulil-amri’ (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.” (Surah an-Nisa, ayat 59).

Justeru, Islam melarang sebarang tindakan menyalahi peraturan atau undang-undang ditetapkan pemerintah. Sesiapa menentang pemerintah samalah ingkar kepada Allah dan Rasulullah. Tindakan sesetengah individu yang tidak menyokong kerajaan yang adil dan menjalankan tanggungjawab dengan baik samalah dengan tindakan meruntuhkan kekuatan Islam.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa yang taat kepadaku, bererti dia taat kepada Allah, sesiapa yang derhaka kepadaku bermakna dia derhaka kepada Allah, sesiapa yang taat kepada pemerintah bermakna dia taat kepadaku, dan sesiapa yang derhaka kepada pemerintah bermakna dia derhaka kepadaku.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, Nasai dan Ibnu Majah).

Sokongan rakyat adalah aset paling penting bagi menjamin keselamatan negara.  Sesiapa melakukan khianat terhadap negara bukanlah dari kalangan orang beriman, kerana mencintai negara adalah sebahgian daripada cabang iman.    

Setiap rakyat wajib mempertahankan negara mengikut kemampuan masing-masing. Mempertahankan negara bukan hanya apabila menjadi tentera dan bertempur di medan perang. Sebaliknya, mempertahankan negara meliputi segala usaha secara langsung dan tidak langsung bagi menjamin keselamatan, kesejahteraan dan keamanan negara.

Setiap rakyat wajib mentaati pemerintah selagi tidak diperintahkan melakukan perkara buruk. Sabda Rasulullah bermaksud: “Wajib ke atas setiap Muslim patuh dan taat kepada pemerintah sama ada dia suka atau tidak, selama mana dia tidak diperintahkan melakukan maksiat, sekiranya dia diperintah melakukan maksiat, maka janganlah patuh dan taat.” (Hadis riwayat Bukhari).

Negara amat memerlukan sokongan dan kesetiaan setiap rakyat, terutama ketika di seluruh dunia sekarang ini menghadapi segala kemungkinan akibat tindakan pihak memusuhi Islam. Sikap setia dan menyokong kerajaan adalah sebahagian jihad untuk mempertahankan negara. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa yang menarik kesetiaannya kepada pemerintah, dia menemui Allah tanpa sebarang hujah, sesiapa yang mati tanpa kesetiaan kepada pemerintah, mati dia seperti dalam jahiliah (maksiat).” (Hadis riwayat Muslim).

No comments:

Post a Comment