Tuesday 31 July 2018

PAHALA JIHAD BERUSAHA BASMI KEMISKINAN

Soal kemiskinan tidak boleh dipandang mudah. Kemiskinan merupakan bom jangka yang jika tidak diatasi dengan berkesan bakal mencetuskan keadaan huru hara. Banyak bangsa dan negara hancur disebabkan masalah kemiskinan.

Kita bertuah kerana kerajaan amat mengambil berat soal membasmi kemiskinan di kalangan rakyat. Jurang taraf kehidupan di antara golongan kaya dengan golongan miskin cuba dikecilkan agar tidak wujud perbezaan ketara.

Dalam sistem ekonomi bebas yang diamalkan oleh negara tidak menghalang mana-mana pihak mengumpulkan kekayaan sebanyak dikehendaki selagi ia dilakukan secara tidak menyalahi undang-undang. Kekayaan yang diperolehi oleh syarikat dan individu merupakan satu sumber pendapatan negara melalui pembayaran cukai keuntungan dan pendapatan.

Bahkan, dalam Islam juga menekankan galakan agar setiap individu berusaha mencari kekayaan dengan banyaknya. Bagaimanapun, pencarian itu seharusnya mengikut lunas-lunas agama dan diasaskan kepada ketakwaan kepada Allah.

Tugas mencari rezeki satu tanggungjawab individu. Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidak makan seseorang itu sebarang makanan pun lebih baik daripada dia memakan makanan dari hasil tangannya sendiri. Sesungguhnya Nabi Daud mengambil makanan dari usaha tangannya sendiri.” - (Hadis riwayat Bukhari).

Maksud individu termasuklah suami atau ketua keluarga. Suami bertanggungjawab menyediakan makanan, pakaian, tempat tinggal dan keperluan bagi isteri, anak dan orang di bawah tanggungannya. Tidak wajib bagi isteri mencari rezeki, melainkan dengan kerelaan diri sendiri atau dalam keadaan terpaksa.

Dalam sistem ekonomi kompleks dan bilangan rakyat yang ramai, keupayaan individu mencari rezeki banyak bergantung kepada keupayaan kerajaan mengurus ekonomi negara. Kerajaan bertanggungjawab mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat melalui mekanisma ekonomi yang bersesuaian dengan keperluan semasa.

Dengan kata lain, peranan kerajaan bukan sekadar mengendalikan urusan pentadbiran, tetapi termasuk menyediakan kemudahan terbaik dan membasmi kemiskinan. Tidak sempurna tugas kerajaan jika majoriti rakyatnya tidak mempunyai pekerjaan dan dalam kemiskinan.

Justeru, mana-mana pemimpin yang sekadar mampu mengharamkan judi dan menutup perniagaan arak belum layak mengaku telah berjaya mentadbir negeri mengikut tuntutan Islam. Islam tidak hanya melihat tugas pemimpin dari aspek menegakkan amalan beragama, tetapi ia lebih banyak daripada itu.

Pemimpin yang mengukur kejayaan berdasarkan kejayaan perlaksanaan beberapa hukum agama, samalah seperti ulama yang hanya mengajar perkara-perkara asas. Sedangkan tugas itu mampu dijalankan oleh ustaz atau guru agama.

Masalah kemiskinan rakyat bukan perkara boleh dipandang mudah. Rasulullah sering memberi peringatan agar setiap umat Islam mementingkan soal mencari rezeki dan keluar dari masalah kepapaan.

Akibat kepapaan amat berat sehingga dikaitkan dengan kemungkinan rosaknya akidah. Ramai orang melakukan perkara ditegah agama semata-mata desakan akibat kemiskinan. Malah dalam cabaran propaganda musuh Islam mengambil kesempatan di atas kemiskinan untuk menarik individu Islam keluar dari Islam.

Kegagalan kerajaan menyediakan peluang pekerjaan terserlah jika ramai rakyat berhijrah ke tampat lain mencari pekerjaan. Rakyat tidak akan meninggalkan tanah tumpah darahnya jika di situ terdapat peluang pekerjaan dan rezeki lumayan.

Islam menggalakkan agar mencari rezeki di negeri sendiri. Rasulullah bersabda menjelaskan rezeki yang diperolehi di negeri sendiri lebih menguntungkan dan diberkati.

Bagaimanapun, urusan perniagaan antara kawasan digalakkan bagi membolehkan pasaran lebih meluas dan untuk mendapatkan barang daripada kawasan lain. Pada zaman Rasulullah ramai sahabat yang menjalankan perniagaan di luar Madinah untuk mendapat keuntungan lebih dan membawa pulang barangan dari tempat lain untuk dijual di Madinah pula.

Galakan ini bagi menjamain kesejahteraan seluruh rakyat. Apabila sesuatu kerja dilakukan di sesuatu tempat, ia turut memberi kesan kepada masyarakat setempat. Aktiviti ekonomi saling berkait antara sama sama lain.

Perkara pokok perlu dilaksanakan oleh kerajaan ialah memastikan kesejahteraan hidup rakyat. Kehidupan rakyat yang selesa dan tenteram memudahkan segala urusan keagamaan dijalankan.

Sekiranya kehidupan rakyat dalam kemiskinan dan menderita akan mudah mencetuskan keadaan tidak tenteram di dalam negara. Perbuatan ganas, mencuri, peras ugut dan kesalahan sosial dengan sendirinya meningkat.

No comments:

Post a Comment