Tuesday 31 July 2018

JIHAD HINDAR KEMISKINAN

Setiap individu Islam perlu berusaha keluar daripada masalah kepapaan atau kemiskinan. Tepatlah jika dikatakan mencari rezeki itu satu jihad dan ibadah. 

Kisahnya, sedang Rasulullah berbual-bual dengan para sahabat, seorang lelaki berbadan tegap dan kuat lalu di hadapan mereka. Maka para sahabat pun berkata: Ya Rasulullah, alangkah baiknya jika orang itu berjuang untuk membela agama Allah. Lalu Rasulullah pun menjawab dengan sabdanya:

“Jika lelaki itu keluar dari rumahnya untuk mencari nafkah untuk anak-anaknya yang masih kecil, itu juga fisabilillah namanya. Mencari rezeki untuk kedua orang tuanya yang sudah tua, juga dinamakan fisibillah. Mencari rezeki untuk dirinya sendiri supaya tidak meminta-minta juga dikira fisabillah. Tetapi, jika dilakukan kerana niat bongkak dan menunjuk-nunjuk, ia dikira sebagai fisabilissyaitan (mengikut jalan syaitan).”  - (Hadis riwayat Thabrani).

Islam menggalakkan umatnya mencari kekayaan dan kemewahan hidup kerana dengannya Islam mampu berkembang, dipandang tinggi dan dipertahankan jika terdapat ancaman. Umat Islam yang dapat memenuhi keperluan hidup dapat menjalankan tugas dengan sempurna dan berbakti kepada Allah. Maka itu mencari rezeki tuntutan agama.

 Firman Allah bermaksud: “Dan carilah kebahagiaan di akhirat yang telah Allah janjikan kepada kamu. Tetapi, janganlah pula kamu lupa akan habuan kamu di dunia.” – (Surah al-Qashash, ayat 77).

Sesungguhnya kemiskinan perlu dielakkan kerana ia akan membawa seseorang, kaum maupun negara kepada keadaan berterusan ditimpa malang. Si miskin dengan mudah diperdaya, ditindas, dipermainkan, dihina dan segala macam perlakuan buruk oleh golongan berkuasa dan kaya yang mengambil kesempatan daripada kelemahan si miskin.

Segala bentuk keadaan mendatangkan keburukan itu perlu dijauhi. Maka caranya berusahalah meletak martabat diri pada kedudukan lebih baik. Lakukan usaha yang mampu memberi pendapatan yang secukupnya bagi memenuhi keperluan hidup.

Nyata sekarang ini umat Islam di seluruh dunia mudah ditindas dan ‘dibeli’ oleh kuasa asing disebabkan kemiskinan. Rata-rata negara Islam berada pada paras kemiskinan. Kemiskinan ini secara langsung memperlihatkan kelemahan umat Islam. Tiada bukti yang boleh ditunjukkan oleh umat Islam kepada penganut agama lain tentang kebaikan dan kejayaan Islam.

Justeru itu, kemiskinan dalam bentuk apapun perlu dibasmikan dan diatasi sepenuhnya di kalangan umat Islam. Usaha perlu dilipat gandakan agar setiap individu mampu memenuhi keperluan asas hidup mengikut kemampuan masing-masing. Rezeki tidak akan datang dengan sendirinya tanpa kita melakukan sebarang usaha untuk mendapatkannya. 

Manusia dibekalkan tenaga dan fikiran untuk membolehkan dilakukan sesuatu usaha bagi mencari rezeki. Sesungguhnya Allah telah menjadikan segala isi dunia ini adalah untuk dimanfaatkan oleh manusia mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. 

Kekayaan dan kebahagiaan di dunia merupakan anugerah Allah kepada seluruh umat manusia. Firman Allah bermaksud: “Dia (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di dunia.” – (Surah al-Baqarah, ayat 29). Dalam surah sama firman-Nya bermaksud: “Tidak ada dosa atas kamu untuk mencari rezeki dari Tuhanmu.” – (Surah al-Baqarah, ayat 198).

Kerana mencari rezeki atau kekayaan merupakan tuntutan Islam, maka Allah melebihkan darjat mereka di antara hamba-hamba lain di dalam urusan kehidupan di dunia dan akhirat. Kemuliaan orang kaya dicapai jika mereka membelanjakan harta dimiliki ke jalan kebaikan seperti mengeluarkan zakat, sedekah, menolong sesama umat dan sebagainya.

Rasulullah bersabda bermaksud: “Sesiapa mencari rezeki halal untuk menjaga dirinya supaya tidak meminta-minta dan berusaha memenuhi keperluan hidup keluarganya, serta dapat pula membantu tetangganya, maka di akhirat kelak dia akan menemui Allah dengan wajah berseri-seri bagaikan bulan purnama.” – (Hadis riwayat Thabrani).

Kemiskinan yang tidak ditangani dan dibiarkan terus merebak dalam masyarakat berpotensi menjadi bom jangka sosial yang dapat menghancurkan maruah individu, masyarakat maupun negara. Kerajaan atau negara boleh runtuh disebabkan kegagalan menyelesaikan masalah kemiskinan rakyat.

Sikap prihatin terhadap bahaya kemiskinan memang beralas. Sesiapa yang berada di dalam keadaan miskin yang teramat sanggup melakukan apa untuk mendapat sesuap nasi. Mula-mula sekadar mengisi perut, kemudian menjadi satu perbuatan yang keterlaluan sehingga menjadi ‘profesion’ mendatangkan malapetaka kepada masyarakat.

Terdapat golongan miskin yang tempat tinggal dan makanan mereka lebih rendah taraf dan mutunya daripada apa yang dirasai oleh haiwan peliharaan. Sekarang makanan haiwan peliharaan lebih mahal harganya daripada hidangan orang miskin. Justeru itu, dimanakah letaknya martabat manusia sebagai sebaik-baik kejadian.

Tidak siapa pun di dunia ini ingin hidup dalam kemiskinan dan menderita. Bagaimanapun ada bersikap negatif dalam usaha mengatasi kemiskinan dialami. Mereka menganggap kemiskinan dialami sebagai nasib ditentukan Qada dan Qadar yang mesti dipercayai dan diterima dengan penuh reda.

No comments:

Post a Comment