Friday 15 November 2019

SEJARAH LUBOK ANTU ADA KAITAN DENGAN PUAKA

Lubok Antu ialah sebuah daerah di Bahagian Sri Aman, Sarawak. Ia bersempadan dengan Badau, Kalimantan Barat, Indonesia. Kawasan ini berbukit bukau. Jarak dari Kuching kira-kira 250 kilometer.

Majoriti penduduknya merupakan kaum Iban. Aktiviti ekonomi utama di daerah ini adalah aktiviti pertanian pindah atau pertanian bukit.

Nama Lubok Antu dikatakan berasal daripada peristiwa peperangan yang sering berlaku dalam kalangan masyarakat Iban pada suatu masa dahulu.

Peperangan yang berlaku menyebabkan banyak kehilangan nyawa dan mayat-mayat yang terkorban dihanyutkan arus deras dari hulu Sungai Batang Ai ke suatu lubuk di hilir sungai.

Tiada siapa yang berani menguruskan mayat-mayat yang telah tersadai di lubuk tersebut. Lubuk di mana mayat tersadai itu pula mula dianggap berpuaka oleh penduduk tempatan, maka lahirlah nama Lubok (lubuk) Antu (hantu atau puaka).

Terdapat juga cerita lagenda masyarakat setempat mengenai asal-usul nama Lubok Antu. Menurut lagenda tersebut, suatu ketika dahulu ada dua orang adik-beradik bernama Chiri dan Jampi.

Suatu hari, mereka pergi Ngamboh parang (Nempek parang). Sekembalinya dari ngamboh, mereka telah terserempak dengan Bunga Nuing iaitu Orang Panggau atau Orang Kayangan.

Mereka dicabar oleh Bunga Nuing untuk beradu ketajaman parang. Dalam peraduan itu Bunga Nuing telah mansap (menetak) batu yang terdapat di tepi sebuah lubuk.

Bunga Nuing yang menetak batu tersebut bukanlah golongan manusia biasa dan masyarakat tempatan pada masa itu pun beranggapan bahawa lubuk tersebut ada berpuaka atau berhantu.

Semenjak itu, daerah ini secara keseluruhan telah dikenali sebagai Lubok Antu. Batu yang dikatakan ditetak oleh Bunga Nuing masih ada sehingga sekarang.

Lubok Antu telah wujud seawal era penjajahan sekitar awal tahun 1800-an. Menurut orang-orang tua, tiga buah kedai pertama yang didirikan dahulu terletak berdekatan dengan Klinik Kesihatan Lubok Antu sekarang.

Lokasinya kira-kira 20 meter dari tebing Sungai Batang Ai. Kedai-kedai tersebut memenuhi keperluan penduduk yang terdiri daripada komuniti Cina, Melayu dan Iban yang kebanyakannya tinggal di sepanjang Sungai Batang Ai, Sungai Engkari dan Sungai Lemanak.

Pada masa kini, kedai-kedai tersebut telah dipindahkan ke lokasi lain.

Sekitar tahun 80-an, program penempatan semula penduduk dijalankan di Lubok Antu bagi memberi ruang kepada pembangunan empangan hidroelektrik pertama Sarawak.

Lebih 90 peratus daripada jumlah penduduk di Lubok Antu beragama Kristian dan selebihnya beragama Buddha, Islam dan kepercayaan adat.

No comments:

Post a Comment