Sunday 1 March 2020

PUTIK BUAH DURIAN BELANDA


Satu cara sesuatu objek dinamakan ialah berdasarkan kepada bentuk fizikal, rasa, bau dan warna objek berkenaan. Dinamakan buah durian kerana ada duri, buah rambutan kerana kulitnya ada 'rambut' dan buah pulasan dinamakan sedemikian kerana hendak makan perlu memulasnya.

Sekarang baru timbul sejenis nanas yang dinamakan nanas cobek kerana untuk memakannya hanya perlu dicubit. Cobek adalah sebutan dalam dialek Kelantan yang bermaksud cubit.

Melihat pada gambar ini tentu ramai dapat meneka buah ini. Ia ada berkaitan dengan buah 'duri' kerana ada jelas kelihatan durinya. Tetapi durian banyak jenis. Jadi, durian apakah ini?

Inilah putik atau buah yang masih kecil buah durian belanda atau juga dikenali durian selat. Selain dua nama itu, ia juga dikenali dengan nama durian sayur.

Keadaan buah durian belanda semasa kecil memang jelas kelihatan durinya. Nama duri itu semakin tidak jelas apabila buah semakin membesar. Jarak duri-durinya semakin jauh antara satu sama lain.

Duri durian belanda sebenarnya lembut dan kita boleh memegang buahnya tanpa perlu berasa takut terkena durinya. Bahkan, ketika buah betul-betul telah matang dan besar, kita seperti tidak perasan bahawa itu adalah duri.

Agaknya kerana tanpa duri yang jelas itulah mengapa buah durian selat tidak dipanggil durian di Indonesia, sebaliknya lebih dikenali dengan nama sirsak.

Durian belanda mendapat permintaan tinggi kerana rasa yang sedap dan unik serta kaya khasiat. Antara khasiat yang baling diketahui ramai ialah merawat kanser atau barah. 
 
Disebabkan mendapat permintaan tinggi untuk tujuan perubatan, harga durian belanda menjadi mahal. Permintaan terhadap durian belanda melebihi penawaran.

No comments:

Post a Comment