Sunday 17 January 2021

CARA TANAM POKOK BULUH MENGGUNA KERATAN BATANG

Di negara ini, ada kira-kira 60 spesies buluh dan 28 daripadanya adalah buluh tempatan yang kebanyakan tumbuh liar selain ditanam. 
 
Daripada penyelidikan dijalankan, hanya 13 spesies buluh yang biasa digunakan secara komersial. Buluh mempunyai keistimewaan yang tersendiri kerana sifatnya seperti kayu, tapi mudah dibentuk dan dilentur. 
 
Kini buluh turut menjadi sumber keluaran hutan yang ketiga penting selepas kayu balak dan rotan. 
 
Perkara utama dalam tanaman buluh adalah pemilihan spesies dan penyediaan benih selain penanaman, penubuhan ladang serta pengurusan ladang buluh. 
 
Pemilihan spesies buluh untuk perladangan mestilah berdasarkan produk akhir yang diinginikan. Ada beberapa spesies buluh yang berdinding tebal sesuai digunakan untuk menghasilkan produk bermutu. Antaranya buluh beting, semantan, brang dan betung. 
 
Ada spesies buluh yang menghasilkan rebung enak untuk dimakan seperti betung dan madu. 
 
Buluh boleh dibiak dan ditanam menggunakan biji benih serta tampang. 
 
Penanaman secara biji benih jarang dilakukan kerana masalah untuk mendapatkan biji benih yang bernas. 
 
Kaedah biasa yang digunakan untuk penanaman buluh adalah dengan pembiakan tampang iaitu secara keratan dahan dan batang kerana ia boleh menghasilkan bahan tanaman dengan lebih cepat. 
 
Kaedah pembiakan secara keratan dahan biasanya digunakan untuk membiak buluh yang mempunyai dinding tebal selain pertumbuhan dahan pada batang agak besar. 
 
Keratan dahan yang baik biasanya diperoleh daripada batang yang berusia dua hingga tiga tahun. Kaedah ini sesuai untuk pembiakan buluh beting, betung, brang dan tumpat. 
 
Ciri-ciri keratan dahan yang dipilih untuk pembiakan adalah segar dan baru, bebas daripada penyakit, mempunyai pertumbuhan akar udara pada bahagian pangkal dahan dan mempunyai mata atau tunas pada bahagian pangkal serta ruas dahan. 
 
Pada peringkat awal penanaman, keratan di tapak semaian perlu disiram dua kali sehari iaitu pagi dan petang. 
 
Jangka masa keratan dibiarkan di tapak semaian selama tiga hingga empat bulan iaitu hingga keratan itu berakar sebelum boleh ditanam di lapangan. 
 
Kadar peratus kejayaan keratan yang hidup adalah tinggi iaitu antara 80 hingga 90 peratus. Keratan dahan di tapak semaian sedia untuk ditanam di ladang. 
 
Kebanyakan buluh di negara ini boleh dibiakkan menggunakan keratan batang. Bahagian tengah dan atas batang buluh yang berusia dua hingga tiga tahun didapati mempunyai kadar kehidupan yang baik. 
 
Kadar kejayaan berbeza mengikut spesies buluh iaitu antara 30 peratus (buluh nipis) hingga 70 peratus (buluh duri). 
 
Keratan batang yang digunakan mestilah mempunyai sekurang-kurangnya dua ruas dan mempunyai mata atau tunas serta dahan kecil yang hidup.

No comments:

Post a Comment