Tuesday 2 February 2021

ULAM BUNGA KUNYIT

 
Banyak orang tanam kunyit dalam pasu di halaman rumah untuk mendapatkan ubi kunyit dan rizom yang biasa digunakan sebagai perisa dalam masakan. Selain itu ia juga menjadi penghias laman. Untung tanam kunyit di laman kerana cantik dan boleh mendapat hasilnya. 
 
Kebanyakan masakan orang Melayu ada menggunakan kunyit sebagai ramuan, termasuk dicampur bersama garam halus untuk dilumur pada ikan yang hendak digoreng atau dibakar. 
 
Pokok kunyit yang matang akan mengeluarkan bunga. Bunga kunyit akan keluar di bahagian antara pelepah daun dengan pelepah daun seterusnya. Bunga kunyit biasanya berwarna putih atau kuning. 
 
Bunga kunyit akan tumbuh majmuk seperti bersisik di sekeliling dalam satu induk. 
 
Bunga kunyit sangat enak dijadikan ulam yang dimakan mentah yang dicicah dengan sambal, budu dan bahan pencicah yang lain. Sesuai juga dibuat kerabu. 
 
Bunga kunyit dikatakan mempunyai khasiat yang tinggi terutama bagi ibu-ibu yang berpantang (selepas bersalin) untuk mempercepatkan penyembuhan luka dalaman dan juga untuk kesihatan rahim serta mengembalikan bentuk tubuh yang asal. 
 
Bunga kunyit juga sesuai diamalkan sebagai bahan untuk awet muda serta kecantikan semulajadi luar dan dalam. 
 
Tanam kunyit tidak sukar. Boleh menggunakan ibu kunyit dan rizom sebagai benih. Proses lain sama juga seperti tanam kebanyak jenis pokok lain. Timbus dengan tanah dan siram. 
 
Biasanya daun akan keluar dua minggu kemudian akan akan terus membesar. Hasil kunyit (rizom) boleh dituai selepas lapan hingga 10 bulan ditanam. Bunga kunyit akan keluar dalam tempoh matang tersebut.

No comments:

Post a Comment