Friday 16 April 2021

RAMADAN DISAMBUT DENGAN PERASAAN GEMBIRA

 
Ketibaan Ramadan, bulan kesembilan dalam kalendar Hijrah sentiasa dinanti-nantikan oleh setiap orang yang beriman. 
 
Kelebihan yang terkandung dalam bulan Ramadan tiada tandingan berbanding bulan-bulan lain. Sebab itu, Ramadan dipanggil penghulu bulan yang membawa seribu rahmat dan keberkatan kepada sesiapa yang merebutnya. 
 
Sabda Rasulullah bermaksud: “Dikunjungi bulan Ramadan, penghulu segala bulan, ucaplah selamat datang atas ketibaan bulan ibadat yang penuh berkat dan rahmat, maka layanlah tetamu yang sedang datang itu.” - (Hadis riwayat Thabrani). 
 
Orang beriman menjadikan Ramadan sebagai masa terbaik untuk meningkatkan kekuatan iman dan menyucikan diri daripada dosa. Sebab itu, ketibaan Ramadan disambut dengan perasaan gembira dan bersyukur dapat menunaikan ibadat puasa sekali lagi. 
 
Puasa Ramadan adalah sebahagian daripada tonggak kekuatan keislaman seseorang. Sesiapa berpuasa menandakan kekuatan iman dan ketakwaan yang lahir daripada keikhlasan mengabdikan diri kepada Allah. 
 
Keistimewaan ibadat puasa di sisi Allah dalam menilai ketakwaan hamba-Nya dijelaskab dalam sebuah hadis qudsi yang bermaksud: “Allah azza wanita Jalla berfirman: “Setiap amalan baik anak Adam adalah untuk dirinya melainkan puasa, ia adalah untuk-Ku dan Akulah yang membalasnya.” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).   
 
Uniknya ibadat puasa ialah ia tidak mempunyai bentuk perlakuan yang boleh dijadikan bukti dilakukan atau tidak. Sebab itu kita tidak dapat menentukan seseorang itu sedang berpuasa. Bagaimanapun dapat ditentukan orang tidak berpuasa jika dilihat dia melakukan perbuatan membatalkan puasa.  
 
Ibadat menjadi benteng kekuatan iman. Nafsu sentiasa ingin bebas, sedangkan puasa mengekang nafsu daripada melakukan amalan yang biasa dilakukan pada bulan-bulan lain. 
 
Sesiapa lemah iman dan tidak tahan melawan kehendak nafsu akan menyambut Ramadan dengan perasaan dukacita. Golongan ini sekadar Islam pada nama. Mereka menanggap Ramadan bulan menghalang kebebasan dan menyiksakan.  
 
Perintah berpuasa Ramadan diturunkan pada tahun kedua Hijrah. Firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 183 bermaksud: “Wahai orang yang beriman!  Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ia diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa.” 
 
Berdasarkan kepada maksud ayat itu, ibadat puasa turut dilakukan umat nabi-nabi terdahulu. Apa yang berbeza hanya dari segi bilangan hari dan ‘menahan’ diri berkaitan hal tertentu.  
 
Contohnya, pengikut Nabi berpuasa daripada makan daging, ikan, telur dan susu. Manakala itu, Nabi Musa ketika bermunajat di Bukit Tursina selama 40 hari 40 malam berpuasa dengan meninggalkan memakan roti dan meminum air. 
 
Namun, perkara pokok yang tersirat di sebalik ibadat puasa ialah kepatuhan kepada perintah Allah. Puasa juga tanda bersyukur dengan nikmat yang telah dikurniakn Allah.

No comments:

Post a Comment