Friday 23 April 2021

TIDAK AMBIL PENGAJARAN PUNCA MUDAH KENA TIPU

Kes penipuan sindiket pinjaman wang tidak wujud kerap dilaporkan. Kesnya meningkat dari masa ke semasa. Mangsanya bukan orang biasa-biasa. Ada yang jadi mangsa adalah pensyarah pusat pengajian tinggi, doktor, peguam, guru, pesara, peniaga dan sebagainya.

Mengapa mereka menjadi mangsa? Antara sebabnya kerana tidak ambil pengajaran daripada kes-kes sebelumnya. Mereka anggap tidak akan menjadi mangsa. Mereka cerdik dan bijak.

Sekali fikir memang tidak lojik individu dianggap bijak pandai ini turut menjadi mangsa. Paling tidak lojik ialah yang menjadi mangsa adalah mereka yang terlibat secara langsung dalam bidang kewangan.

Seperti dilaporkan Harian Metro mengenai hasrat seorang pengurus bank di Raub, Pahang mahu membuat pinjaman wang sebanyak RM250,000 tidak kesampaian malah terpaksa menanggung kerugian RM32,970 selepas diperdaya sindiket pinjaman wang tidak wujud.

Mangsa melihat iklan pinjaman wang daripada sebuah syarikat dan mengisi maklumat peribadi seperti nombor telefon untuk dihubungi.

Pada hari yang sama mangsa menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp yang perkenalkan diri sebagai Kelvin.

Suspek meminta mangsa memberikan nombor kad pengenalan dan slip gaji. Pada hari yang sama Kelvin memberitahu bahawa permohonan pinjaman mangsa sebanyak RM250,000 diluluskan.

Suspek juga meminta mangsa membayar yuran sebanyak RM1,250. Mangsa memasukkan wang secara pindahan dalam talian ke dalam akaun yang diberikan.

Selepas itu mangsa diminta lagi untuk memasukkan wang atas pelbagai alasan dan memindahkan wang sebanyak enam transaksi ke lima akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM32,970.

Kemudian, mangsa cuba menghubungi Kelvin untuk bertanyakan mengenai pinjamannya namun suspek gagal dihubungi.

Jalan cerita kes penipuan pinjaman tidak wujud semua sama. Namun, mangsa tidak ambil pengajaran kes terdahulu. Apa lagi hendak dikata.

No comments:

Post a Comment