Sunday 27 March 2022

MELANCONG MAMPU MEMBINA JATI DIRI

  
Melancong atau ziarah antara aktiviti digalakkan dalam Islam. Ini kerana melancong boleh dijadikan cara untuk pengukuhan iman dan takwa. Sesungguhnya, banyak pengajaran berkaitan perkara baik dan buruk dapat dilalui atau diperhatian semasa melancong di tempat lain. 
 
Ini amat bertepatan dengan ajaran Islam yang amat mementingkan elemen mendengar, melihat dan berfikir dalam mencari kebenaran. 
 
Firman Allah bermaksud: “Tidaklah mereka menjelajah di muka bumi, supaya mereka mempunyai hati yang dapat memikirkan atau telinga yang dapat digunakan untuk mendengar? Kerana sebenarnya bukan mata yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada.” (Surah al-Hajj, ayat 46) 
 
Peri pentingnya melancong dan mengembara, maka Islam memberi bebeberapa kelonggaran dalam melaksanakan ibadat. Contohnya orang bermusafir dibenarkan berbuka atau tidak berpuasa Ramadan. 
 
Firman Allah SWT bermaksud: “Maka sesiapa yang di antara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah berbuka) kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang tidak berpuasa) itu pada hari-hari lain.” (Surah al-Baqarah, ayat 184) 
 
Islam datang bagi memperbetulkan persepsi manusia terhadap kehidupan kerana di sebalik pelaksanaan syariat Islam di dalam segenap aspek kehidupan pastinya akan membawa kebaikan kepada manusia. Begitulah juga dengan aktiviti melancong dan industri pelancongan itu sendiri. 
 
Sesungguhnya Islam menyediakan cara hidup terbaik kepada manusia. Maka, kitalah sebagai orang Islam mempromosikan nilai-nilai murni itu kepada bukan Islam. Apa saja yang dilakukan yang memberi kebaikan adalah satu ibadah. 
 
Antara manfaat yang diperoleh melalui kegiatan melancong jika dilakukan berdasarkan apa yang disarankan oleh agama ialah dapat memberi kekuatan jati diri dari segi ketakwaan, ketenangan jiwa, pengalaman, kesejahteraan, memulihkan semangat, penghayatan alam dan hubungan sosial. 
 
Jelas sekali tujuan melancong yang dianjurkan Islam ialah supaya digerakkan mata hati untuk menilai, memahami dan mengambil pengajaran sepanjang pengembaraan. 
 
Justeru, walaupun melancong lebih bersifat santai, tetapi tidaklah sampai tidak memikirkan apa-apa. Dalam bersantai, minda masih perlu digerakkan secara positif supaya mendapat kebaikan ketika melancong. 
 
Minda pengembara hendaklah dibuka dan berdoa agar Allah memberi hidayah dan kebaikan daripada aktiviti melancong itu. Mereka mengumpul pengalaman dan pengamatan sepanjang mengembara untuk dijadikan sesuatu yang berharga apabila pulang ke tempat asal.

No comments:

Post a Comment