Sunday 16 June 2024

BINATANG KURUS TIDAK SAH DIJADIKAN KORBAN

 
Bagi individu yang berkemampuan, sempena Aidiladha disunatkan melakukan ibadat korban. Ibadat korban ialah menyembelih binatang ternakan pada Aidiladha (selepas sembahyang sunat hari Aidiladha) atau pada hari Tasyrid (11, 12 dan 13 Zulhijjah - hingga tenggelam matahari 13 Zulhijjah) kerana ibadat kepada Allah.

Sesiapa melakukan korban tidak pada masa yang ditetapkan, maka tidak dianggap melakukan ibadat korban. Menyembelih binatang bukan pada masa ditetapkan, kemudian daging itu diagihkan kepada orang ramai, amalan itu dianggap sedekah dan hadiah.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Baragsiapa menyembelih korban sebelum sembahyang Hari Raya Haji, sesungguhnya dia menyembelih untuk dirinya. Barangsiapa menyembelih korban sesudah sembahyang Hari Raya Haji dan dua khutbahnya, sesungguhnya dia telah menyempurnakan ibadatnya, dan dia telah menjalankan aturan Islam.” (Hadis riwayat Muslim).

Pada hari Aidiladha dan Tasyrik adalah hari kesyukuran dan kegembiraan untuk umat Islam. Selain dianjurkan melakukan ibadat korban, pada hari-hari berkenaan digalakkan berzikir, bertakbir dan bertahmid.

Bagi memastikan kegembiraan dan semua orang dapat menikmati hidangan makanan yang disediakan, maka pada dua perayaan dan juga hari Tasyrik diharamkan berpuasa.

Keutamaan mengerjakan ibadat korban sepertimana dinyatakan Rasulullah dalam hadis bermaksud: “Tidak ada amalan anak Adam yang paling disukai Allah pada hari Aidiladha selain daripada mengalir darah (menyembelih korban) dan sesungguhnya (sembelihan) itu akan datang pada hari kiamat nanti berserta dengan tanduk, kuku dan bulunya semua sekali. Dan sesungguhnya darahnya akan berada di suatu tempat yang ditentukan Allah sebelum menitik ke bumi. Oleh itu ikhlaskanlah hatimu dengannya.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Tirmizi).

Antara jenis binatang yang boleh dijadikan korban ialah kambing, unta, biri-biri, lembu, dan kerbau, mengikut syarat yang ditetapkan syarak. Biri-biri hendaklah berumur lebih setahun. Bagi kambing, lembu, dan kerbau hendaklah berumur lebih daripada dua tahun. Manakala unta yang boleh dijadikan korban mesti berumur lebih lima tahun.

Binatang yang ingin dijadikan korban adalah yang tidak cacat, biarpun sedikit seperti carik daun telinga, berjalan terhinjut-hinjut, dan berpenyakit. Binatang yang terlalu kurus juga tidak boleh dijadikan korban.

Dari Bara bin Azli, telah berkata Nabi: “Empat macam binatang yang tidak sah dijadikan korban, iaitu rosak matanya, sakit, pincang dan kurus tidak berlemak.” (Hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi).
 
Binatang korban itu hendaklah dari yang terbaik seperti gemuk, sihat dan 'menarik'.
 
Tidak sah haiwan sembelihan korban yang terdapat cacat cela dan aib termasuklah haiwan itu buta sekalipun hanya sebelah mata. Justeru, penyembelihan haiwan tersebut tidak dianggap daging ibadah korban namun masih boleh dimakan dan disedekah seperti dianggap daging haiwan biasa  yang disembelih.
 
Hal ini demikian  kerana syarat haiwan sembelihan  korban  mestilah tiada  kecacatan ketara seperti buta sebelah mata, terlalu kurus, sakit yang ketara, tempang kaki yang ketara, terputus telinga atau lebih teruk daripada itu. Namun, haiwan yang tidak ketara kecacatannya, seperti tidak terlalu kurus mahupun tidak ketara tempangnya, maka sah untuk dijadikan haiwan sembelihan korban.
 
Dalil pensyariatan ibadah korban bagi mereka yang mampu berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).” – (Surah al-Khauthar, ayat 2)
 
Sementara itu, haiwan korban mestilah dipilih daripada yang terbaik dan tiada cacat cela berdasarkan hadis sahih daripada al-Bara’ bin ‘Azib R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Empat perkara yang tidak boleh ada pada haiwan korban ialah yang jelas buta matanya, yang ketara sakitnya, yang ketara tempang kakinya dan yang kurus kering tidak ada sum-sumnya”. (Hadis riwayat Abu Daud nombor 2802)
 
Para ulama bersepakat bahawa digalakkan mencari yang terbaik dan sempurna dalam pemilhan haiwan korban. Mereka juga bersepakat bahawa kecacatan yang disebut di dalam hadis di atas atau lebih teruk dari keempat-empat kecacatan tersebut tidak sah untuk dijadikan binatang korban (Rujuk Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 13/120) 
 
Al-Nawawi menjelaskan jenis kecacatan yang ketara pada binatang yang tidak menepati syarat-syarat korban: “Syarat haiwan korban mestilah selamat daripada aib yang boleh mengurangkan dagingnya. Maka tidak sah binatang yang sangat kurus, gila, putus sebahagian telinga, tempang, buta sebelah mata, sakit dan kudis yang jelas kelihatan. Tidak terjejas yang sedikit aibnya begitu juga ketiadaan tanduk-tanduk, koyak telinga, dan tebukan telinga menurut pendapat yang paling sahih. Menurut pendapatku: Pendapat yang sahih dan yang dinyatakan dalam kitab al-Umm bahawa tidak sah kudis yang sedikit” (Rujuk Minhaj al-Talibin  wa Umdatun Muftin fi al-Fiqh, 320).
 
Berdasarkan kenyataan di atas, haiwan yang tidak jelas kecacatannya, seperti tidak terlalu kurus dan tidak ketara tempangnya, maka sah untuk dijadikan haiwan sembelihan korban.

No comments:

Post a Comment