Kelulut atau lebah kelulut atau nama saintifiknya Trigona
spp dikategori sebagai lebah tidak bersengat yang menghasilkan madu sama
seperti lebah madu (Apis sp.) Terdapat hampir 500 spesis lebah kelulut di
seluruh dunia di antaranya Trigona scaptotrigona, Trigona laeviceps, Trigona
apicalis, Trigona thorasica, Trigona itama dan banyak lagi.
Lebah kelulut boleh diternak daripada koloni liar sama
seperti lebah madu. Penternakan lebah kelulut digelar sebagai meliponikultur.
Kelulut (juga digelar meliponini) boleh didapati di kebanyakan kawasan-kawasan
tropika dunia seperti Australia, Afrika, Asia Tenggara dan kawasan Amerika
Tropik.
Manakala hutan hujan tropika dengan iklim khatulistiwa di
Malaysia memberikan kelebihan secara semulajadi kepada lebih 29 spesis Trigona.
Terdapat pelbagai kaedah penternakan kelulut mengikut
kesesuaian koloni kelulut serta faktor setempat. Namun kaedah penternakan
menggunakan ‘haif topping’ dan ‘kotak haif’ adalah yang paling popular di
negara ini.
Kaedah haif topping diaplikasikan dengan memotong tunggul
kayu atau batang kayu yang dihuni oleh koloni kelulut secara semulajadi dan
diletakkan kotak kayu di atasnya. Kaedah ini sangat sesuai untuk kawasan yang
panas kerana koloni kelulut masih berada dalam situasi asal dalam kayu.
Bagaimana pun penternak hanya dapat menuai madu sahaja berbanding teknik kotak
haif.
Bagi kotak haif pula, pengusaha mampu menuai bukan sahaja
madu kelulut malah mampu menuai roti lebah (beebread) serta propolis. Namun
kaedah memindahkan koloni dari tunggul kayu ke kotak haif memerlukan kemahiran
agar telur dan sarang kelulut tidak rosak semasa proses pemindahan dilakukan.
Lebah kelulut mempunyai khasiat yang lebih baik jika
dibandingkan dengan lebah madu. Madu lebah kelulut mampu membekalkan tenaga,
merawat luka dan ulser, merawat kerosakan fungsi ginjal, mengurangkan stress
oksidatif, membantu menguatkan tulang belakang dan menstabilkan tekanan darah
serta glukos dalam darah.
Lebah kelulut menyimpan madu di dalam tempayan kecil yang
dilapisi propolis, yang berfungsi sebagai anti-bakteria, anti-fungus dan
anti-virus. Propolis juga dilaporkan mampu mengawal dan menstabilkan penyakit
kencing manis, strok, kanser, hipertensi, ginjal dan AIDS jika diamalkan secara
berterusan.
Penghasilan madu kelulut banyak berlaku diantara bulan Mac
hingga Ogos manakala pada bulan Mac hingga April lebah kelulut giat
menghasilkan koloni yang baru. Madu kelulut berwarna coklat gelap dan rasanya
masam sedikit jika dibanding dengan madu lebah.
Selain mengeluarkan madu, lebah kelulut juga berperanan
penting sebagai agen pendebungaan bagi kebanyakan spesis buah, bunga, sayur dan
tanaman lain. Pendebungaan yang dilakukan oleh kelulut mampu meningkatkan
hampir 40 peratus hasil pertanian. Kini kelulut juga digunakan sebagai agen
pendebungaan bagi tanaman melon secara fertigasi di dalam Struktur Perlindung
Hujan (SPH).
Pengeluaran madu kelulut bergantung kepada kekuatan koloni.
Pengeluaran akan berkurangan pada bulan September hingga Februari kerana ketika
ini madu yang dihasilkan akan menjadi sumber makanan kepada anak-anak kelulut
dan memperkuatkan koloni.
Seperti juga lebah madu, lebah kelulut tidak mudah rosak
serta mempunyai jangka hayat yang panjang. Madu kelulut boleh dijual mentah
tanpa melalui sebarang proses. Selain penyediaan haif, tiada penglibatan kos
lain kerana kelulut akan mencari sumber makanannya sendiri dari bunga tanaman
yang ada di sekelilingnya.
Antara bunga tanaman yang digemari adalah bunga belimbing,
bunga pokok air mata pengantin, bunga selasih, bunga biden, markisa, bunga
pokok jam sepuluh, ulam raja dan lain-lain.
Pemberian makanan gantian seperti rambutan, duku, dokong,
longan serta pisang boleh membantu lebah kelulut ketika kekurangan makanan
terutama dimusim hujan yang berpanjangan disekitar bulan Oktober hingga
Disember.
Selain dari itu buah buah betik dan tembikai serta pisang
yang cukup ranum, pisang salai serta bunga pisang yang gugur juga merupakan
makanan gantian kegemaran kelulut.
Selain penternakan secara komesil, penternakan kelulut atau
meliponikultur boleh dijalankan sebagai aktiviti sampingan atau hobi yang mampu
menjana pendapatan sampingan. Selain dari itu pemerhatian aktiviti lebah
kelulut juga merupakan terapi yang mampu menghilangkan stress kerja.
Potensi pasaran yang baik akan dapat menyuntik minat ramai
pihak untuk terbabit dalam industri penternakan lebah kelulut walaupun ianya
adalah bidang baru dan masih banyak yang perlu diterokai dan dipelajari
mengenainya.
Oleh : Wan Norfaizah
Foto : Shamsi Sumairi
Foto : Shamsi Sumairi
Baca juga:
No comments:
Post a Comment