Biarpun,
berlainan agama ia tidak menghalang daripada mewujudkan persefahaman, perpaduan
dan berkongsi apa yang dimiliki. Malah, Islam menyuruh agar berbuat baik kepada
sesiapa sahaja yang tidak memerangi Islam. Setiap orang berhak mendapat
kesejahteraan daripada umat Islam, selagi mereka tidak melakukan tindakan
provokasi atau berniat buruk terhadap umat Islam.
Firman
Allah dalam surah al-Mumtahanah ayat 8 bermaksud: “Allah tidak melarang kamu
daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu
kerana agama dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu,
sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.”
Sikap
saling menghormati dan membenarkan setiap penganut agama lain melakukan apa
diperintahkan oleh agama mereka merupakan tanda tolak ansur Islam terhadap
kepercayaan agama lain.
Layanan
diberikan kepada penganut agama lain bukan setakat memberi kebebasan dalam
amalan agama, bahkan dihormati sumbangan mereka berikan seperti pendapat dan
tenaga untuk membangunkan negara.
Bahkan
dijelaskan agar kita melakukan sesuatu yang lebih baik daripada apa mereka
sangkakan. Apa dilakukan merupakan sebahagian daripada usaha dakwah. Keterbukaan,
toleransi, keselamatan dan kesejahteraan yang ditawarkan oleh Islam kepada
bukan Islam merupakan bukti Islam agama universal.
Ketika
Rasulullah membuka kota Makkah, ramai penduduk di kalangan Musyrikin tidak
menyangka apa akan dilakukan oleh Rasulullah terhadap mereka. Ramai menyangka
mereka akan dikenakan hukuman bunuh atau setidak-tidaknya akan dirampas harta
benda mereka dan kemudian dihalau dari kota Makkah.
Sebaliknya,
Rasulullah memberi kebebasan dan kemaafan terhadap semua penduduk tanpa mengira
tindakan jahat yang perlu dilakukan Musyrikin terhadap baginda.
Tindakan
Rasulullah itu ternyata satu dakwah yang berkesan. Ramai Musyrikin tertarik
kepada Islam dan menganutnya. Mereka yakin kepada keperibadian Rasulullah dan
ajaran yang dibawa oleh baginda.
Hubungan
baik dengan penganut agama lain merupakan satu perintah yang jelas. Firman
Allah bermaksud: “Dan jangalah kamu berbincang dengan ahli kitab melainkan
dengan cara yang lebih baik, kecuali orang berlaku zalim di antara mereka.” -
(Surah al-Ankabut, ayat 46).
Suruhan
menghormati orang bukan Islam bertujuan melahirkan kehidupan masyarakat yang
aman, selamat, sejahtera dan tolong menolong. Tentulah hidup masyarakat tidak
aman jika amalan permusuhan berlaku secara berterusan.
Dalam
negara majoriti penganut Islam, tentulah Islam lebih berkuasa. Tetapi bagaimana
nasib orang Islam yang tinggal di negara majoriti penduduknya bukan Islam. Jika
penganut Islam bertindak secara kekerasan terhadap bukan Islam, sudah pasti
nasib yang sama akan dialami orang Islam di negara bukan Islam.
Ketika
Rasulullah mula berhijrah ke Madinah, satu perjanjian dibuat dengan orang bukan
Islam yang dinamakan Perlembagaan Madinah. Melalui perlembagaan tersebut,
masing-masing pihak, yakni orang Islam dan orang bukan Islam, mendapat hak
asasi manusia tanpa mengira agama, bangsa dan darjat.
Dalam
perlembagaan itu dengan jelas menyebut tentang kebebasan bersuara dan beragama,
selain hak keselamatan diri dan harta benda, kehormatan diri, pemilikan harta
benda dan perhubungan.
Memandangkan
orang bukan Islam mendapat hak sebagaimana orang Islam, maka adalah menjadi
tanggungjawab orang bukan Islam mempertahankan negara Madinah bersama-sama
orang Islam.
Malangnya
orang bukan Islam, terutama di kalangan orang Yahudi sentiasa mencari helah
untuk menghancurkan Islam. Mereka bersikap talam dua muka dengan melaga-lagakan
penduduk Madinah agar timbul permusuhan dan saling mencurigai.
Perkara
ini bertambah buruk lagi apabila ada orang Islam menjadi munafik, yakni
berpura-pura memeluk Islam, sedangkan ia tidak dilakukan dengan ikhlas dan
kepercayaan yang sebenar-benarnya.
Justeru,
bagi memberi satu pengajaran dan amaran kepada sesiapa sahaja berniat jahat,
maka pemerintah Islam melakukan tindakan memerangi kaum Yahudi daripada Bani
Quraizah, Bani Qainuqa dan Bani Nadir yang mengkhianati perjanjian Madinah.
Pihak
yang memerangi bukan Islam dengan alasan ingin membina kekuatan Islam atau
membina monopoli Islam sebenarnya melakukan tindakan salah dan membuta tuli.
Mereka tidak memahami intipati Islam yang sebenarnya.
Disebabkan
segelintir orang Islam sedemikianlah, maruah dan nama baik Islam tercemar di
mata orang bukan Islam. Islam dianggap sebagai agama anti perdamaian dan suka
mencetuskan keadaan huru hara.
Kenyataan
pada hari ini, kejayaan umat Islam banyak bergantung dengan adanya kerjasama
dengan orang bukan Islam. Tambahan sekarang, kekuatan ekonomi, ketenteraan,
keilmuan dan kuasa berada di tangan orang bukan Islam.
No comments:
Post a Comment