Tuesday, 7 January 2020

HAK MUSLIM TIDAK DIAIBKAN DI MEDIA SOSIAL


Dahulu individu bergelar wartawan atau pemberi merujuk kepada mereka bekerja dengan syarikat akhbat dan stesen teleisyen serta radio. Mereka bertugas melapor atau membuat berita berkaitan sesuatu kejadian atau maklumat.

Namum sekarang ini terlalu ramai yang ingin atau mengaku menjadi pemberita. Mereka tidak menjadikan aktiviti itu sebagai kerjaya, tetapi sekadar satu hobi atau sifat semulajadi mengikut trend semasa berdasarkan kepada peluang dan ruang yang ada.

Kemudahan komunikasi melalui media dalam talian membuka peluang kepada sesiapa sahaja untuk menjadi pemberita. Setiap hari ada sahaja berita tersebar di media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram serta perkongsian mesej melalui aplikasi WhatsApp.

Berita itu bukan sahaja akan mendapat tanda ‘suka’, ikon dan komen, bahkan akan dikongsi dengan meluas sama ada berserta komen positif mahupun negatif dan bahasa kasar.

Demi memberi justifikasi terhadap perbuatan itu, ramai menggunakan alasan hak asasi atau bebas menyuarakan pandangan, meskipun maksud hak itu lebih ditumpukan kepada milik peribadi membuatkan seseorang merasakan mereka bebas melakukan apa sahaja.

Hakikatnya, hak mempunyai maksud luas dan pada masa sama ada batasan, malah melakukan dan menyatakan kebenaran perlu diletakkan sebagai dalam hak yang perlu diberi keutamaan.

Apa yang berlaku hari ini, masing-masing ingin menegakkan hak sendiri tanpa mempedulikan hak orang lain. Akibatnya, berlaku salah guna hak yang mengakibatkan perselisihan dan pergaduhan.

Disebabkan terlalu ghairah menggunakan hak sendiri membuatkan kita terlupa untuk menghormati hak orang lain.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang yang suka agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersebar dalam kalangan orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat.” (An-Nur: 19)

Setiap hak yang diberikan kepada manusia, datang bersama had dan syarat perlu dipatuhi. Rasionalnya, batasan itu bertujuan memastikan setiap hak digunakan dengan cara yang betul.

Satu hak mukmin terhadap mukmin yang lain ialah terhindar daripada tindakan buruk mukmin yang lain. Sebaliknya setiap orang mukmin adalah saudara kepada mukmin yang lain.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Seorang Mukmin dengan Mukmin lain adalah seperti sebuah binaan, sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

No comments:

Post a Comment