Rezeki
amat berkait rapat dengan peribadi seseorang. Ia akan tertahan apabila mereka
bergelumang dengan dosa yang dilakukan seharian tanpa bertaubat.
Firman
Allah yang bermaksud: “Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik
daripada apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti
langkah-langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang
nyata bagimu.” (Surah al-Baqarah ayat 168).
Bagaimana
kehidupan kita jika sentiasa bergelumang dengan pendapatan haram? Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh dari bahan makanan yang
haram maka api nerakalah yang lebih layak baginya”. (Hadis riwayat Tarmizi).
Said
Bin Abi Waqas meminta agar Rasulullah SAW mendoakannya supaya Allah SWT memperkenankan
doanya. Maka Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Perelokan sumber rezekimu,
pasti doamu dimakbulkan.”
Kadangkala kita hairan kerana umat Islam takut untuk
memakan daging babi kerana ia adalah haram tetapi mereka selamba dan acuh tidak
acuh apabila mengambil pendapatan haram.
Setiap
pekerjaan yang dilakukan janganlah sehingga mengabaikan ibadat asas seperti
solat kerana ia menghilangkan keberkatan rezeki. Jika solat terabai, berat
untuk sedekah, bersikap acuh tak acuh dengan pengeluaran zakat maka akan hilang
nilai keberkatan itu sendiri.
Keberkatan
juga berkait rapat dengan cara dan proses seseorang itu mendapatkan rezekinya
tidak kira apa saja pekerjaan yang mereka lakukan. Tanda keberkatan adalah
semakin banyak mereka menerima sesuatu, semakin taat mereka kepada Allah dan
semakin baik hubungan dengan orang di sekeliling.
Bagi
mereka yang bekerja di pejabat, mereka perlu mematuhi peraturan iaitu cukup
masa bekerja, tuntutan kerja lebih masa dibuat dengan betul serta tidak mencuri
tulang. Selain itu, pelaksanaan kerja juga perlu sentiasa betul agar yang
menurut perintah Allah SWT.
Dalam
perniagaan misalnya, jika pelaksanaannya tidak betul seperti unsur penipuan dan
riba dalam pengurusan, pasti hasilnya tidak sah. Kerja yang berkat dan sempurna
sentiasa melaksanakan perintah Allah.
Firman
Allah yang bermaksud: “Dan katakanlah (Wahai Muhammad): “Bekerjalah kamu. Nanti
Allah akan melihat pekerjaanmu serta Rasul-Nya dan orang-orang Mukmin. Nanti
kamu akan di kembalikan kepada Yang Mengetahui yang ghaib dan yang hadir, lalu
dikhabarkan-Nya kepadamu apa yang telah kamu kerjakan”. (Surah at-Taubah ayat
105).
Allah SWT mengurniakan kepada manusia pelbagai bentuk rezeki seperti wang, pangkat
mahupun kuasa. Manusia perlu menitikberatkan usaha mencari rezeki halal supaya
hidup bertambah berkat di dunia dan akhirat. Apabila sumber itu halal, maka
lahirlah perbuatan mulia. Manakala jika makanan itu berpunca dari sumber haram,
akan lahirlah perbuatan tercela.
Baca juga:
No comments:
Post a Comment