Seorang sahabat Rasulullah SAW, Abu Ayyub al-As’ary memberitahu bahawa Baginda SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Tidak ada seorang pun yang menghina seorang Muslim di satu tempat yang padanya dia dinodai harga dirinya dan dirosakkan kehormatannya, melainkan Allah akan menghina orang yang menghina itu di tempat yang dia inginkan pertolongan-Nya. Dan tidak seorang pun yang membela seorang Muslim di tempat padanya dia dinodai harga dirinya dan dirosakkan kehormatannya, melainkan Allah akan membela orang yang membela itu di tempat yang dia menginginkan pembelaan-Nya.” (Hadis riwayat Imam Abu Daud)
Imam Tirmizi meriwayatkan sabda Rasulullah SAW yang bersumberkan kisah Jabir bin Salim, beliau memberitahu, “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Janganlah kamu mencaci sesiapa pun. Maka saya berkata dalam (berjanji) diriku, maka mulai saat itu saya tidak pernah lagi mencaci sama ada kepada orang merdeka, hamba, unta mahupun kambing.”
Sambung Jabir lagi, “Aku juga pernah mendengar yang Rasulullah SAW bersabda, ‘Janganlah kamu mengambil ringan perbuatan baik walaupun sedikit. Berbicaralah kepada saudaramu dengan wajah yang berseri-seri kerana hal itu juga satu kebaikan. Angkat sarungmu sehingga setengah betis.
“Jika kamu enggan maka julurkan seperti di atas buku lali. Janganlah kamu melakukan isbal kerana isbal itu adalah perbuatan sombong. Apabila ada seseorang yang mencela dan mencacimu dengan sesuatu yang dia ketahui mengenai dirimu, maka jangan kamu membalas celaannya dengan sesuatu yang kamu ketahui mengenai dirinya kerana akibat buruknya hanya akan menimpa dirinya sendiri.’”
Lihat betapa indahnya ajaran Rasulullah SAW kepada umat Islam dalam meniti kehidupan bermasyarakat. Perkara yang memungkinkan tercetusnya perbalahan dan permusuhan, awal-awal lagi sudah ditegah.
No comments:
Post a Comment