Sunday, 19 November 2017

IBLIS KETURUNAN MALAIKAT

Iblis adalah ketua kepada segala kejahatan. Dalam pepatah Melayu ada menyebut ‘jahat macam iblis’. Kejahatan dilakukan oleh iblis berpunca ingkar kepada perintah Allah agar sujud (hormat) kepada Adam yang diciptakan sebagai khalifah di muka bumi. Keangkuhan iblis berkaitan asal-usulnya telah membawanya sesat jauh daripada keredaan Allah.

Asal keturunan iblis ada dijelaskan dalam al-Quran. Namun, ulama tidak sepakat dalam mentafsir ayat al-Quran itu. Setengah pendapat ulama mengatakan iblis dari keturunan malaikat. Dakwa golongan ulama ini, bilangan malaikat banyak dan salah satu malaikat dikatakan bernama iblis. 

Golongan ulama ini mentafsir ayat 34 surah al-Baqarah bermaksud: “Dan ketika Kami perintahkan kepada para malaikat, sujudlah kalian kepada Adam! Lalu mereka pun sujudlah semua, kecuali iblis.”

Golongan ulama lain pula mengatakan iblis dari keturunan jin. Hujah tersebut berdasarkan kepada ayat 50 surah al-Kahf yang jelas menyebut iblis dari keturunan jin. 

Firman Allah bermaksud: “Dan apabila Kami berkata kepada malaikat, sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka kecuali iblis. Ia adalah daripada golongan jin, lalu ia ingkar akan perintah Tuhannya.”

Allah mencipta jin lebih awal daripada Adam. Malah, jin merupakan makhluk Allah yang telah menjalankan pelbagai tugas sebagai hamba. Firman Allah bermaksud: “Dan (sebelum) terjadinya manusia, Kami ciptakan jin daripada api yang sangat panas.” (Surah al-Hijr, ayat 27). 

Kejadian jin daripada api turut dijelaskan Allah dalam firman-Nya yang lain bermaksud: “Dan Dia menciptakan jin daripada lidah api yang menjulang.” (Surah ar-Rahman, ayat 15).

Jin yang dipanggil ‘al-Bun’ pernah mendiami bumi sebelum manusia diciptakan oleh Allah. Golongan jin ini telah melakukan kerosakan di bumi sehingga Allah memerintahkan para malaikat yang diketuai iblis memerangi mereka. Banyak yang mati dan sebahagiannya melarikan diri dari dataran yang kemudiannya menjadikan lautan sebagai tempat tinggal.

Ketika Allah menyatakan ingin menciptakan Adam dan dilantik sebagai khalifah di muka bumi, maka usul itu dibantah oleh para malaikat. Bantahan malaikat tersebut bukan tanda ingkar, tetapi menzahirkan pendapat mereka tentang siapa lebih layak. 

Malaikat merasakan dirinya lebih layak bagi mengelak kemungkinan berlaku lagi kemusnahan di muka bumi seperti dilakukan oleh al-Bun. Malaikat mendakwa dirinya dari jenis hamba yang taat dan tidak mungkin melakukan sesuatu yang bertentangan dengan perintah Allah.

Allah berfirman maksudnya: “Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat; sesungguhnya Aku ingin menjadikan seorang khalifah di muka bumi. Maka mereka (malaikat) berkata: Mengapa Engkau ingin jadikan (khalifah) di muka bumi itu orang yang membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, pada hal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?  Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 30).

Namun, Allah Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa menciptakan apa diingin-Nya. Allah tetap mencipta Adam untuk dilantik sebagai khalifah di muka bumi. Maka, Allah memanggil seluruh malaikat dan jin untuk sujud (menghormati) Adam. Biarpun pada mulanya malaikat membantah, tetapi sebagai hamba yang taat, semua malaikat sujud kecuali iblis.

No comments:

Post a Comment