Sunday, 11 March 2018

DOA SATU TANDA INGAT KEPADA ALLAH

Doa yang dipohon merupakan tanda ingat seorang hamba kepada Penciptanya. Ingatan tersebut merupakan susunan kata yang disenangi oleh Allah SWT, yang sentiasa mahu mendengar suara hamba-Nya yang dikasihi. 

Kerana itu, seseorang yang tahu akan hakikat atau rahsia qada dan qadar akan terus berdoa sambil berusaha, tidak kira doanya terlaksana ataupun tidak.

Jika seseorang itu memahami bahawa apabila takdir itu telah termaktub di Loh Mahfuz, tidak ada makhluk yang boleh mengubahnya. Ada rahsia ketuhanan terhadap qada, qadar yang tidak mudah untuk difahami oleh hamba-hamba-Nya.

Setiap individu mempunyai keinginan dan keperluan masing-masing sama ada positif atau negatif kerana mereka terpaksa menghadapi pelbagai ragam hidup seperti cabaran, halangan dan dugaan. Mereka berdoa kepada Allah memohon limpah perkenan dan rahmat-Nya supaya hajat terkabul.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Tidak boleh ditolak qadar Allah melainkan doa. Dan tiada yang boleh memanjangkan umur melainkan membuat baik kepada ibubapa. (Hadis riwayat Hakim, Ibnu Hibban dan Tirmizi).

Sesungguhnya Allah SWT amat dekat dengan hamba-Nya. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku (Allah), maka jawablah bahawasanya Aku adalah dekat, Aku kabulkan permohonan mereka yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu dalam kebenaran.” (Surah al-Baqarah, ayat 186).        

Firman Allah SWT yang bermaksud: Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran. (al-Baqarah: 186).

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Ada tiga golongan yang doa mereka tidak ditolak. Pertama, orang yang berpuasa hingga ia berbuka. Kedua, imam yang adil dan ketiga, doa orang yang dizalimi." (riwayat Tirmizi)

Dalam hal berdoa orang berpuasa dibandingkan dengan pemimpin yang adil dan orang dizalimi. Doa orang berpuasa mustajab. Didengar, tidak ditolak Allah SWT, bahkan dimakbulkan, insya-Allah.  

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang berpuasa memiliki doa yang tidak tertolak pada saat berbuka." (riwayat Ibnu Majah).

No comments:

Post a Comment