Saturday, 19 December 2020

CARA UNTUK MUDAH MENDAPAT REZEKI

Kita jangan mendidik diri dengan sifat kedekut kerana ia menyempitkan rezeki. Rezeki amat berkait rapat dengan peribadi seseorang. Ia akan tertahan apabila mereka bergelumang dengan dosa yang dilakukan seharian tanpa bertaubat. 

Firman Allah yang bermaksud: “Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik daripada apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.” (Surah al-Baqarah ayat 168).

Bagaimana kehidupan kita jika sentiasa bergelumang dengan pendapatan haram? Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh dari bahan makanan yang haram maka api nerakalah yang lebih layak baginya”. (Hadis Riwayat At-Tarmizi).

Said Bin Abi Waqas meminta agar Rasulullah mendoakannya supaya Allah memperkenankan doanya, maka Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Perelokan sumber rezekimu, pasti doamu dimakbulkan.” Kadang kala kita hairan kerana umat Islam takut untuk memakan daging babi kerana ia adalah haram tetapi mereka selamba dan acuh tidak acuh apabila mengambil pendapatan haram.

Setiap pekerjaan yang dilakukan janganlah sehingga mengabaikan ibadat asas seperti solat kerana ia menghilangkan keberkatan rezeki. Jika solat terabai, berat untuk sedekah, bersikap acuh tak acuh dengan pengeluaran zakat maka akan hilang nilai keberkatan itu sendiri. 

Keberkatan juga berkait rapat dengan cara dan proses seseorang itu mendapatkan rezekinya tidak kira apa saja pekerjaan yang mereka lakukan. Tanda keberkatan adalah semakin banyak mereka menerima sesuatu, semakin taat mereka kepada Allah dan semakin baik hubungan dengan orang di sekeliling.

Bagi mereka yang bekerja di pejabat, mereka perlu mematuhi peraturan iaitu cukup masa bekerja, tuntutan kerja lebih masa dibuat dengan betul serta tidak mencuri tulang. Selain itu, pelaksanaan kerja juga perlu sentiasa betul agar yang menurut perintah Allah SWT. 

Dalam perniagaan misalnya, jika pelaksanaannya tidak betul seperti unsur penipuan dan riba dalam pengurusan, pasti hasilnya tidak sah. Kerja yang berkat dan sempurna sentiasa melaksanakan perintah Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan katakanlah (Wahai Muhammad): “Bekerjalah kamu. Nanti Allah akan melihat pekerjaanmu serta Rasul-Nya dan orang-orang Mukmin. Nanti kamu akan di kembalikan kepada Yang Mengetahui yang ghaib dan yang hadir, lalu dikhabarkan-Nya kepadamu apa yang telah kamu kerjakan”. (Surah at-Taubah ayat 105).

Allah mengurniakan kepada manusia pelbagai bentuk rezeki seperti wang, pangkat mahupun kuasa. Manusia perlu menitikberatkan usaha mencari rezeki halal supaya hidup bertambah berkat di dunia dan akhirat. Apabila sumber itu halal, maka lahirlah perbuatan mulia. Manakala jika makanan itu berpunca dari sumber haram, akan lahirlah perbuatan tercela.


No comments:

Post a Comment