Negara
sedang menghadapi pelbagai cabaran baharu dalam soal agama. Saban hari kita
mendengar keluh kesah orang Melayu yang bimbang dengan kesan faham liberalisme
dan sekularisme ke atas aqidah umat Islam.
Hari
ini kita banyak mendengar kes-kes pelanggaran syariat yang dilakukan atas nama
kebebasan dan hak asasi. Lebih malang lagi ada pihak berkepentingan sanggup
mengiyakan apa yang dilakukan bukan Islam, biarpun ia jelas bertentangan dengan
ajaran Islam dan norma-norma kehidupan masyarakat Melayu.
Penghinaan ke atas umat Islam juga
dilakukan secara terbuka. Selain itu, umat Islam juga sedang berhadapan dengan
ancaman ekstremisme dan militanisme yang sekiranya tidak dibendung segera akan
memberi kesan buruk kepada negara.
Apa
yang lebih membimbangkan ialah wujudnya trend sekularisasi dalam agama, iaitu
agama dilihat dalam neraca ideologi sekular liberal Barat yang tercabut
daripada akar syariat. Trend ini sedang berkembang di seluruh dunia.
Misalnya, majalah Economist
keluaran bulan Oktober 2014 memberikan gambaran yang agak mengejutkan
mengenai amalan perkahwinan sejenis yang dilarang oleh syariat Islam dan juga
oleh agama-agama lain.
Menurut majalah ini, dalam tahun
1950-an, perkahwinan sejenis tidak diterima di hampir semua negara di dunia.
Namun, dalam tempoh hanya enam dekad, yang disebut sebagai “the leap forward”,
hari ini 113 negara atau 63% daripada keseluruhan negara di dunia telah
mengiktiraf perkahwinan sejenis atas nama menghormati hak asasi dan
kesamarataan.
Keadaan
ini menimbulkan keresahan dalam kalangan orang Melayu dan umat Islam. Mereka
bimbang sekiranya gejala sekularisasi agama ini tidak segera dibendung, maka
benteng aqidah dan syariat yang sekian lama dipertahankan oleh umat Islam akan
runtuh dirempuh arus liberalisme.
Dalam konteks perjuangan agama
bangsa, semua ini merupakan cabaran baharu yang tidak pernah kita lalui sebelum
ini. Kalau dahulu kita cuma berhadapan dengan asakan sesama sendiri yang cuba
membuktikan siapa lebih Islam. Tetapi hari ini kita berada di luar kancah
perlumbaan ini.
Justeru, amat penting umat Islam terus kukuh berpegang kepada ajaran Islam yang
sebenar. Jangan mudah terpengaruh dengan fahaman baharu yang menyeleweng.
No comments:
Post a Comment