Thursday, 9 June 2022

ISLAM PENTINGKAN KASIH SAYANG

  
Islam agama yang benar tidak pernah mengajar umatnya melakukan perbuatan zalim atau ganas. Perbuatan zalim bukan amalan orang Islam. Ajaran Islam mengajar manusia hidup damai dan sejahtera. Buktinya, Islam mengajarkan tasamuh (toleransi) terhadap sesama insan, tidak kira sesama muslim atau pun bukan Islam. 
 
Islam mementingkan kasih sayang dan saling membantu. Tidak kira siapa, jika memerlukan bantuan, lebih-lebih lagi berkaitan nyawa, maka wajib dibantu. 
 
Islam mengajar bahawa muslim itu bersaudara. Justeru harus bersatu, tidak bercerai-berai, bertengkar dan bermusuhan. Orang yang mengaku beriman, pasti tidak akan memusuhi saudara seagamanya. 
 
Islam hanya benarkan umatnya berperang untuk mempertahankan diri dan agama setelah dianiaya oleh musuh. Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: "Telah diizinkan berperang bagi orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya. Dan sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu." (Surah al-Hajj, ayat 39). 
 
Luas cerminan sikap kasih sayang yang diajarkan Islam kepada umat manusia tidak hanya untuk Muslim, tetapi untuk seluruh makhluk di muka bumi ini sebagaimana disebut rahmatan lil alamin (rahmat bagi sekalian alam). 
 
Baginda SAW juga bersabda yang bermaksud: "Tebarkanlah kasih sa­yang kepada semua orang maka engkau akan dikasihi seluruh makhluk langit (para malaikat)". (Riwayat at-Thabrani, al-Jami’ as-Shaghir, hal. 38) 
 
Umat Islam perlu mengutamakan kasih sayang. Fikir dahulu belum bertindak agar tidak ada orang mendapat kesan buruk daripada perbuatan yang dilakukan. 
 
Begitu juga, berhati-hati dalam soal berkata-kata. Jaga tutur kata kerana sakitnya perasaan akibat kata-kata lebih berbisa dari belahan pisau.

No comments:

Post a Comment