Laman sesawang itu menjadi 'pasar' menemukan penjual dengan pembeli tanpa kedua-duanya bertemu secara bersemuka.
Memandangkan
kaedah ini agak baru, timbul persoalan adakah ia menepati syarat-syarat jual
beli yang dikehendaki syarak.
Sesungguhnya
ajaran Islam tidak kaku atau menutup terus perbincangan mengenai sesuatu
perkara. Islam agama universal yang memenuhi keperluan manusia sejak dulu
hingga ke hari kiamat.
Ciri-ciri jual
beli dalam talian antaranya ialah:
- Pembeli
dan penjual tidak bersemuka secara fizikal.
Urusan jual beli
dilakukan secara maya. Penjual atau dipanggil juga pengiklan memasukkkan
maklumat berkaitan barang yang hendak dijual di mana-mana laman web atau media sosial.
Maklumat itu
biasanya dalam bentuk gambar, penyataan ciri-ciri barang, kegunaan dan beberapa
perkara lain yang dapat menarik minat pembeli untuk membelinya.
Jika ada bakal
pembeli berminat, mereka boleh menghubungi pengiklan melalui telefon, email
atau laman sosial. Ketika komunikasi itu, bakal pembeli boleh
bertanya lanjut mengenai ciri-ciri barang itu, soal harga, penghantaran dan
sebagainya. Pengiklan meninggalkan pesan bagaimana untuk menghubunginya.
Dengan kata lain,
wujud perbincangan, tawar menawar dan sebagainya yang lazim berlaku dalam
proses jual beli biasa.
Komunikasi antara
penjual dan pembeli penting agar tidak berlaku ghalat (tersilap),
ghban(kerugian) dan taghrir (penipuan). Jelas
di sini, urus niaga ini berbezanya dengan urus niaga biasa dalam bentuk penjual
dan pembeli tidak bersua muka.
Namun, kebiasanya
pembeli tidak berkomunikasi dengan penjual disebabkan telah biasa atau telah
pasti mengenai barang yang hendak dibeli. Mereka telah mendapat maklumat
mengenai barang itu, bahkan mungkin pernah menggunakannya. Di sini wujud sikap
saling mempercayai antara penjual dan pembeli.
Bayaran dibuat
secara dalam talian.
Memandangkan
pembeli dan penjual tidak bertemu, maka urusan bayaran dilakukan secara dalam talian.. Ia sama ada dilakukan secara kemasukan tunai ke akaun penjual
melalui pindaan tunai atau kemasukan tunai. Bayaran juga dilakukan secara
kad kredit dan beberapa kaedah yang disediakan.
Untuk membolehkan
urusan bayaran ini, peniaga perlu ada akaun. Mereka boleh membuat semakan
untuk menentukan bayaran telah dibuat.
Kebiasannya,
bayaran dibuat dahulu baharu hantaran barang dilakukan. Ini biasa berbeza
dengan amalan serahan barang dahulu sebelum dibuat pembayaran dalam urus niaga
biasa.
Bagaimanapun, kaedah bayaran 'bayar ketika terima barang' semakin banyak diamalkan.
- Barang
dihantar kepada pembeli oleh agen penghantaran.
Tugas
penghantaran barang diuruskan oleh penjual yang dilakukan oleh agen
penghantaran. Pembeli hanya menerimanya di tempat ditetapkan dalam
urusan jual beli.
Memandangkan,
pembeli tidak melihat keadaan fizikal sebenar barang, maka biasanya penjual
bersetuju menerima kembali barang itu jika pembeli memulangkannya.
Kos penghantaran
akan dijelaskan dalam laman web sama ada ia ditanggung oleh pembeli atau penjual. Jika
dinyatakan kos ditanggung oleh pembeli, maka sejumlah bayaran perlu dibayar
atau ditambah dari jumlah harga barang.
Perbandingan
antara jualan di atas talian dengan jual beli biasa.
Seperti telah
dijelaskan, jualan di dalam talian tidak sama dengan kaedah biasa dalam banyak
hal. Antara perbandingan jual beli dalam talian dengan jual beli
secara normal.
- Kewujudan
barang.
Dalam keadaan
biasa, barang dagangan wujud ketika akad dilakukan. Pembeli boleh
memeriksa atau menilai sendiri barang yang ingin dibeli. Pembeli boleh
membuat penilaian secara fizikal seperti menyentuhnya, melihat dan perkara lain
yang boleh dilakukan seadanya apabila barang berada di hadapan mata.
Sebaliknya,
jualan di dalam talian tidak memberi peluang sedemikian. Ini kerana pembeli
hanya mendapat maklumat mengenai produk secara gambar yang dipaparkan dan
beberapa maklumat yang dinyatakan. Sekiranya ingin mendapat maklumat
lebih, bakal pembeli boleh menghubungi penjual.
- Bentuk
akad.
Dari segi akad,
jualan biasa memperlihatkan sighah akad sama ada melalui perkataan, perbuatan
atau secara berdiam diri. Namun, akad jualan dalam talian berlangsung
secara berasingan.
Peniaga
menyatakan kesediaan menjual, mungkin telah beberapa bulan lalu ketika
meletakkan iklan hendak menjual, sedangkan pembeli baharu menyatakan persetujuan
hendak membeli.
Ini ternyata
tidak menepati syarat menetapkan ungkapan qabul hendaklah saling berkaitan dan
ada kesinambungan seperti ungkapan ijab, yakni perkara itu berlaku dalam satu
majlis, serta kedua-dua pihak saling memahami ungkapan dikeluarkan.
Dalam menjelaskan
perkara itu, ulama setuju mengatakan pada hakikatnya ia berlaku secara
bersambung, yakni ijab dari penjual biarpun dinyatakan 'lama', tetapi
hakikatnya ia masih berterusan disebabkan ungkapan itu masih kekal dilihat atau
dibaca oleh pembeli.
Penjual secara
berterusan menyatakan ijab untuk menjual. Lainlah, jika penjual menarik
balik iklan yang dibuat itu dan tentulah bakal pembeli pula tidak boleh
melakukan qabul.
- Tempoh serahan.
Elemen boleh
diserah yang menjadi satu lagi syarat jualan ternyata jelas dalam akad jual
beli secara biasa. Ini kerana penjual dan pembeli secara langsung dapat
mengambil keputusan berkaitan penyerahan itu.
Bagaimanapun,
dalam jual beli dalam talian, barang tersebut tidak boleh diserah serta merta,
ia perlu melalui proses panjang dan rumit. Ini kerana ia melibatkan jarak
yang jauh dan perlu melalui beberapa proses lain yang mungkin ada berlaku
halangan untuk dihantar segera.
Selain itu,
penjual tidak mengawal 'keupayaan' ajen penghantaran. Kerap berlaku
barang yang dihantar lewat sampai dan ada kalanya hilang di perjalanan.
Sebab itu,
kejadian ini perlu difahami oleh pembeli. Mereka perlu bersedia menghadapi
resiko, terutama kelewatan menerima barang yang dibeli.
Ia tidak
mencacatkan akad jual beli, kecuali syarat 'tempoh' penghantaran disebut
sebagai salah satu 'penerimaan' kepada persetujuan membeli. Disebabkan sudah
memahami situasi ini, pembeli biasanya tidak menjadikan 'tempoh' penghantaran
sebagai syarat membeli.
- Produk
terlibat
Produk yang
gambarnya dipaparkan di laman sesawang tidak semesti dihantar kepada
pembeli. Ini untuk barang 'sama' yang tidak ada perbezaan yang dibuat di
kilang. Hanya satu gambar yang sama bagi melambangkan barang yang
sebenarnya berjumlah 'banyak' yang hendak dipasarkan.
Contohnya, setiap
buku dengan judul buku yang sama tidak perlu dipamerkan imejnya di dalam iklan
semata-mata untuk menjelaskan bahawa semua buku itu hendak dijual dan pembeli
perlu memilih mana satu.
Sebaliknya, hanya
satu buku dipamerkan sudah memadai untuk mewakili buku yang lain. Apabila
hendak menghantar kepada pembeli, mana-mana buku boleh dihantar asalkan judul
buku yang sama.
No comments:
Post a Comment