Friday, 23 February 2018

SAH JUAL BELI ATAS TALIAN DENGAN SYARAT


Seperti ketahui umum, satu fenomina medium jual beli semakin diterima masyarakat adalah melalui atas talian. 

Urusan pembelian dilakukan melakui media maya iaitu internet, selain berhubung melalui telefon.

Laman sesawang itu menjadi 'pasar' menemukan penjual dengan pembeli tanpa kedua-duanya bertemu secara bersemuka. 

Memandangkan kaedah ini agak baru, timbul persoalan adakah ia menepati syarat-syarat jual beli yang dikehendaki syarak.  

Sesungguhnya ajaran Islam tidak kaku atau menutup terus perbincangan mengenai sesuatu perkara. Islam agama universal yang memenuhi keperluan manusia sejak dulu hingga ke hari kiamat.

Ciri-ciri jual beli atas talian antaranya ialah:

Pembeli dan penjual tidak bersemuka secara fizikal

Urusan jual beli dilakukan secara maya. Penjual atau dipanggil juga pengiklan memasukkkan maklumat berkaitan barang yang hendak dijual di mana-mana laman web atau media sosial.   

Maklumat itu biasanya dalam bentuk gambar, penyataan ciri-ciri barang, kegunaan dan beberapa perkara lain yang dapat menarik minat pembeli untuk membelinya. 

Jika ada bakal pembeli berminat, mereka boleh menghubungi pengiklan melalui telefon, email atau laman sosial.  Ketika komunikasi itu, bakal pembeli boleh bertanya lanjut mengenai ciri-ciri barang itu, soal harga, penghantaran dan sebagainya. Pengiklan meninggalkan pesan bagaimana untuk menghubunginya.  

Dengan kata lain, wujud perbincangan, tawar menawar dan sebagainya yang lazim berlaku dalam proses jual beli biasa. 

Komunikasi antara penjual dan pembeli penting agar tidak berlaku ghalat (tersilap), ghban(kerugiandan taghrir (penipuan). Jelas di sini, urusniaga ini berbezanya dengan urusniaga biasa dalam bentuk penjual dan pembeli tidak bersua muka.   

Namun, kebiasanya pembeli tidak berkomunikasi dengan penjual disebabkan telah biasa atau telah pasti mengenai barang yang hendak dibeli. Mereka telah mendapat maklumat mengenai barang itu, bahkan mungkin pernah menggunakannya. Di sini wujud sikap saling mempercayai antara penjual dan pembeli.

Bayaran dibuat secara dalam talian.  

Memandangkan pembeli dan penjual tidak bertemu, maka urusan bayaran dilakukan secara on line.  Ia sama ada dilakukan secara kemasukan tunai ke akaun penjual melalui pindaan tunai atau kemasukan tunai. Bayaran juga dilakukan secara kad kredit dan beberapa kaedah yang disediakan.  

Untuk membolehkan urusan bayaran ini, peniaga perlu ada akaun. Mereka boleh membuat semakan untuk menentukan bayaran telah dibuat.

Kebiasannya, bayaran dibuat dahulu baru hantaran barang dilakukan. Ini biasa berbeza dengan amalan serahan barang dulu sebelum dibuat pembayaran dalam urusniaga biasa. 

Barang dihantar kepada pembeli oleh agen penghantaran.  

Tugas penghantaran barang diuruskan oleh penjual yang dilakukan oleh agen penghantaran.  Pembeli hanya menerimanya di tempat ditetapkan dalam urusan jual beli.  

Memandangkan, pembeli tidak melihat keadaan fizikal sebenar barang, maka biasanya penjual bersetuju menerima kembali barang itu jika pembeli memulangkannya. 

Kos penghantaran akan dijelaskan dalam laman web sama ada ia ditanggung oleh pembeli atau penjual. Jika dinyatakan kos ditanggung oleh pembeli, maka sejumlah bayaran perlu dibayar atau ditambah dari jumlah harga barang.  

Perbandingan antara jualan di atas talian dengan jual beli biasa.

Seperti telah dijelaskan, jualan di atas talian tidak sama dengan kaedah biasa dalam banyak hal.  Antara perbandingan jual beli atas talian dengan jual beli secara normal.

- Kewujudan barang.  

Dalam keadaan biasa, barang dagangan wujud ketika akad dilakukan. Pembeli boleh memeriksa atau menilai sendiri barang yang ingin dibeli. Pembeli boleh buat penilaian secara fizikal seperti menyentuhnya, melihat dan perkara lain yang boleh dilakukan seadanya apabila barang berada di hadapan mata. 

Sebaliknya, jualan di atas talian tidak memberi peluang sedemikian. Ini kerana pembeli hanya mendapat maklumat mengenai produk secara gambar yang dipaparkan dan beberapa maklumat yang dinyatakan.  Sekiranya ingin mendapat maklumat lebih, bakal pembeli boleh menghubungi penjual.

Bentuk akad.  

Dari segi akad, jualan biasa memperlihatkan sighah akad sama ada melalui perkataan, perbuatan atau secara berdiam diri. Namun, akad jualan atas talian berlangsung secara berasingan.  

Peniaga menyatakan kesediaan menjual, mungkin telah beberapa bulan lalu ketika meletakan iklan hendak menjual, sedangkan pembeli baru menyatakan persetujuan hendak membeli.

Ini ternyata tidak menepati syarat menetapkan ungkapan qabul hendaklah saling berkaitan dan ada kesinambungan seperti ungkapan ijab, yakni perkara itu berlaku dalam satu majlis, serta kedua-dua pihak saling memahami ungkapan dikeluarkan. 

Dalam menjelaskan perkara itu, ulamak setuju mengatakan pada hakikatnya ia berlaku secara bersambung, yakni ijab dari penjual biarpun dinyatakan 'lama', tetapi hakikatnya ia masih berterusan disebabkan ungkapan itu masih kekal dilihat atau dibaca oleh pembeli.

Penjual secara berterusan menyatakan ijab untuk menjual. Lainlah, jika penjual menarik balik iklan yang dibuat itu dan tentulah bakal pembeli pula tidak boleh melakukan qabul.

- Tempoh serahan.  

Elemen boleh diserah yang menjadi satu lagi syarat jualan ternyata jelas dalam akad jual beli secara biasa. Ini kerana penjual dan pembeli secara langsung dapat mengambil keputusan berkaitan penyerahan itu. 

Bagaimanapun, dalam jual beli atas talian, barang tersebut tidak boleh diserah serta merta, ia perlu melalui proses panjang dan rumit. Ini kerana ia melibatkan jarak yang jauh dan perlu melalui beberapa proses lain yang mungkin ada berlaku halangan untuk dihantar segera.  

Selain itu, penjual tidak mengawal 'keupayaan' ajen penghantaran.   Kerap belaku barang yang dihantar lewat sampai dan ada kalanya hilang di perjalanan. 

Sebab itu, kejadian ini perlu difahami oleh pembeli. Mereka perlu bersedia menghadapi resiko, terutama kelewatan menerima barang yang dibeli.  

Ia tidak mencacatkan akad jual beli, kecuali syarat 'tempoh' penghantaran disebut sebagai salah satu 'penerimaan' kepada persetujuan membeli. Disebabkan sudah memahami situasi ini, pembeli biasanya tidak menjadikan 'tempoh' penghantaran sebagai syarat membeli.  

Produk terlibat 

Produk yang gambarnya dipaparkan di laman sesawang tidak semesti dihantar kepada pembeli. Ini untuk barang 'sama' yang tidak ada perbezaan yang dibuat di kilang. Hanya satu gambar yang sama bagi melambangkan barang yang sebenarnya berjumlah ribu hendak dipasarkan.  

Contohnya, setiap buku dengan judul buku yang sama tidak perlu dipamerkan imejnya di dalam iklan semata-mata untuk menjelaskan bahawa semua buku itu hendak dijual dan pembeli perlu memilih mana satu.  

Sebaliknya, hanya satu buku dipamerkan sudah memadai untuk mewakili buku yang lain. Apabila hendak menghantar kepada pembeli, mana-mana buku boleh dihantar asalkan judul buku sama. 

No comments:

Post a Comment