Sunday, 11 February 2024

PERBEZAAN ISTILAH JENAYAH SIVIL DAN SYARIAH

 
Di Malaysia terdapat dua undang-undang iaitu undang-undang sivil dan undang-undang syarak yang dikendalikan oleh dua mahkamah berbeza. Mahkamah Sivil membicarakan kesalahan sivil dan Mahkamah Syariah mengadili kes berkaitan kesalahan syarak.
 
Pihak yang menggubalkan undang-undang berkaitan juga dilakukan oleh dua pihak berasingan. Undang-undang sivil digubal di Parlimen melibatkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Manakala undang-undang syarak pula diperbuat di Dewan Undangan Negeri (DUN) di setiap negeri.
 
Terdapat ahli perundangan sivil yang berpendapat bahawa kuasa menggubal undang-undang jenayah sivil secara umum adalah kuasa Parlimen untuk dilaksanakan di Mahkamah Sivil. Bidang kuasa Mahkamah Syariah mestilah berkaitan dengan kesalahan jenayah yang berbaki "residual" dari apa yang telah diperuntukkan kepada Mahkamah Sivil.
 
Ini adalah berpunca mereka memahami kesalahan-kesalahan jenayah yang ujud di Mahkamah Sivil juga adalah undang-undang takzir. Oleh itu tafsiran jenayah di Mahkamah Sivil perlu difahami tidak termasuk jenayah syariah yang disebut hudud, qisas dan takzir.
 
Contohnya beberapa kesalahan dalam Kanun Keseksaan yang bercanggah dengan hukum syarak tidak wajar diterima sebagai kesalahan takzir seperti kesalahan berjudi dibenarkan di tempat berlesen, minum arak dibenarkan melainkan semasa memandu yang membawa kemalangan, berhubung jenis bukan dengan isteri yang sah dibenarkan, asalkan dengan kerelaan dan tiada  unsur atau paksaan atau di bawah umur.
 
Jika kita mengamati maksud jenayah dalam hukum syarak dan sivil ia memberi pengertian yang amat berbeza.
 
Jenayah di Mahkamah Sivil merupakan satu perbuatan yang menyalahi undang-undang pemerintahan sesuatu tempat. Orang yang melakukan perbuatan jenayah ini dinamakan penjenayah.
 
Manakala jenayah dalam hukum syarak bermaksud ketentuan syariat Islam tentang kesalahan jenayah dan hukuman yang perlu dikenakan ke atas pesalah berkenaan. Kata al-Mawardi, ia adalah larangan syarak yang dicegah oleh Allah SWT melalui al Quran atau hadis dengan (hukuman) had, qisas atau takzir.
 
Sebagai contoh kesalahan jenayah berjudi. Mengikut undang-undang sivil kesalahan berjudi menjadi salah jika ia berjudi di tempat perjudian haram tanpa lesen mengikut undang-undang. Sebaliknya jika berjudi di tempat yang dibenarkan mengikut undang-undang ia tidak menjadi kesalahan.
 
Sebaliknya dalam hukum syarak kesalahan berjudi merupakan larangan perintah Allah SWT tidak mengira sama ada ia berlesen atau tidak.
 
Seperti ini kita lihat kesalahan berjudi walaupun atas nama kesalahan yang sama iaitu judi tapi ia mempunyai tafsiran maksud yang berbeza.
 
Begitu juga kesalahan minum arak atau yang memabukkan ia tidak menjadi kesalahan di bawah undang-undang sivil melainkan jika memandu semasa berada di bawah pengaruh arak. Namun dalam hukum syarak ia adalah haram mengikut perintah Allah SWT walaupun pada masa mana sekalipun.
 
Begitu juga mengadakan hubung jenis atau zina adalah hukumnya haram. Di dalam undang-undang sivil ia tidak menjadi kesalahan melainkan dengan paksaan, tanpa kerelaan atau rogol. Juga rogol bawah umur adalah hubungan seksual dengan perempuan bawah umur 16 tahun dengan atau tanpa kerelaannya.
 
Jelas sekali perbuatan berjudi, minum arak dan zina dilihat berbeza berdasarkan hukum sivil dan hukum syarak. Perbezaan tersebut belum lagi belum lagi dibandingksn dari segi pembuktian, saksi, acara perbicaraan yang berkaitan.

No comments:

Post a Comment