Mungkin ada yang merasakan betapa sukarnya
untuk menerima erti kegagalan. Pengalaman pahit yang dilalui menimbulkan rasa
ketakutan perkara itu akan berulang lagi. Di sinilah pentingnya sikap positif
ditanam dalam diri. Kekuatan jiwa dan jati diri perlu disuburkan sepertilah
perjuangan baru bermula.
Jika diri tidak mampu keluar daripada
kepompong sikap negatif, selama itulah diri akan dikuasai semangat lemah yang
akan terbawa-bawa dalam semua aspek kehidupan. Mereka bukan sahaja gagal dalam
pelajaran, tetapi berdepan dengan cara hidup yang bantut dalam semua hal.
Sebaliknya, individu yang berjaya bangkit
daripada kegagalan mampu meneruskan perjuangan dengan lebih cemerlang.
Pengalaman adalah guru yang paling bijaksana yang mengajar seseorang untuk
lebih bersemangat pada setiap perjuangan seterusnya agar kegagalan yang pernah
dilalui dahulu tidak berulang lagi, biarpun dalam perkara lain.
Untuk meneruskan usaha mencapai kejayaan,
cubalah muhasabah diri tentang apa yang telah dilakukan sebelum ini. Kita kena
kenalpasti apakah yang membawa kepada kegagalan sebelum ini. Berdasarkan kepada
analisa itu mudahlah untuk memperbaiki kelemahan dan seterusnya meningkatkan
usaha yang lebih komprehensif..
Individu yang ingin berjaya perlu berusaha
membina keyakinan diri. Kita sepatutnya berbanggalah dengan kelebihan yang ada
pada diri sendiri. Jangan kita membandingkan kemampuan orang lain sehingga
menyebabkan melihat lebih banyak keburukan yang dimiliki berbanding
kelebihan.
Sebenarnya setiap orang mempunyai kemampuan
yang berbeza. Oleh sebab itu kita harus akur dengan kebolehan diri sendiri.
Kita tidak harus memikirkan berapa laju mampu 'berlari', tetapi fikirkan kita
mampu sampai di destinasi ditujui, biarpun banyak halangan di sepanjang
perjalanan.
Lihatlah bagaimana pelajar orang kurang upaya
(OKU) gigih belajar. Mereka sedar akan kekurangan diri. Sebab itu mereka perlu
mempertingkatkan usaha lebih berbanding orang normal. Hasilnya, ramai pelajar
OKU mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan dan melanjutkan pelajaran di
pusat pengajian tinggi.
Dengan kata lain, kejayaan mampu diraih oleh
sesiapa yang sanggup berusaha gigih dan mengetepikan kekurangan diri. Kita
perlu mencari jalan sendiri untuk memajukan diri dalam melaksanakan cita-cita
hidup.
Kegagalan bukan satu penamat kepada usaha.
Kalaupun kita tidak mampu mengulangi untuk memperbaiki kegagalan itu, masih
banyak cabaran lain yang boleh dijadikan mercu kejayaan. Usah difikirkan
kegagalan lalu, tetapi fikirkan kejayaan lain yang ingin dicipta.
Jadikan kegagalan sebagai satu permulaan
untuk menempuh kejayaan. Sesungguhnya kegagalan bukan bermakna kita telah
dilabelkan untuk gagal selama-lamanya. Fikirkan kemungkinan kita akan mencipta
kejayaan lebih cemerlang berbanding orang lain.
Jika kita memikirkan mampu melakukannya,
sebenarnya sebahagian kejayaan yang bakal diperoleh telahpun berada di dalam
genggaman. Jangan sekali-kali jadikan kegagalan dan kekurangan diri sebagai
alasan untuk tidak berusaha lagi.
Kita perlu memikirkan usaha untuk menjadi lebih
baik pada hari esok berbanding hari ini. Tinggalkan kegagalan hari ini kerana
esok masih ada sinar kejayaan. Jadilah insan yang sentiasa beruntung dengan
memiliki jiwa yang tidak mudah menyerah kalah dalam perjuangan hidup.
Anggaplah orang yang gagal sebagai beruntung.
Apa yang dilakukan berulang-ulang sehingga mencapai kejayaan membolehkan
dirinya mendapat balasan pahala yang lebih banyak. Balasan pahala bukan
bergantung kepada kejayaan, tetapi niat ikhlas melakukan sesuatu demi mencari
keredaan Allah.
Orang yang tidak ada keyakinan diri dan tidak
mempunyai impian hidup adalah diumpamakan telah mati sebelum ajal. Bangkit dan
dakilah tangga kejayaan hidup. Allah tidak akan mengubah nasib seseorang hamba,
melainkan hamba itu sendiri berusaha mengubahnya.
No comments:
Post a Comment