Wednesday, 7 July 2021

HARUS MEMINTA BANTUAN JIKA TERDESAK

 
Meminta bantuan sama ada dalam bentuk kewangan, makanan dan sebagainya adalah dibenarkan bagi orang yang betul-betul dalam kesempitan.

Tidak kisahlah cara mana meminta bantuan itu dilakukan. Handak mengguna secara mengibarkan bendera putih, menghubungi melalui telefon, memberi tahu melalui media sosial, hadir di tempat agihan bantuan dan sebagainya.

Apa yang penting masih mengamalkan adab-adab ketika meminta bantuan. Jangan memalukan pihak yang meminta dan yang memberi.

Mintalah bantuan sekadar yang diperlukan pada masa sekarang. Jangan pula minta bantuan untuk stok setahun. Atau, sehingga orang lain terlepas untuk mendapat bantuan tersebut.

Dalam keadaan sekarang memang banyak pihak sudi menghulurkan bantuan. Tetapi ada pula meminta-minta dan menyalahkan pihak lain, sedangkan bekalan keperluan masih mencukupi.

Hargailah kesudian pihak yang ingin menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan. Banyak pihak bertungkus lumus mencari sumber, membungkus dan mengagihkan.

Suasana pandemik sekarang ini adalah berbeza dan di luar dari kebiasaan yang pernah kita hadapi. Terdapat ramai pihak yang hidup ditimpa kesusahan dengan pelbagai bentuk masalah melibatkan pelbagai latar belakang.

Oleh itu tidak sepatutnya sebarang isu yang berkaitan dengan bantuan dan meminta bantuan dipolemikkan.

Bagi yang ingin membantu, tanamkan keikhlasan dalam hati untuk membantu, manakala bagi yang memerlukan bantuan pula boleh memohon bantuan mengikut kaedah yang dirasakan selesa dengan cara masing-masing.

Islam menggalakkan umatnya untuk mengambil berat terhadap masyarakat sekeliling terutamanya jiran tetangga. Ini kerana asas keimanan seorang mukmin adalah sifat tolong-menolong sesama jiran yang dalam kesusahan.

Sabda Nabi Muhammad SAW bermaksud: “Tidaklah seorang itu dianggap orang beriman yang mana dia dalam kekenyangan dan dalam masa yang sama jiran sebelahnya kelaparan.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Hadis di atas menunjukkan betapa pentingnya untuk seorang mukmin mengambil cakna akan jiran tetangganya serta tidak mementingkan diri sendiri.

Seorang mukmin juga sepatutnya mengamalkan sikap cakna dan saling menguatkan antara satu sama lain. Oleh kerana itu, dalam keadaan saudara seislamnya dilanda kesempitan dan kesusahan, orang yang beriman perlu menghulurkan bantuan bagi mengurangkan beban saudara seagama mereka.

No comments:

Post a Comment