Thursday 15 February 2024

Sebab 16 seksyen EKJSK 2019 tidak sah

 
Mahkamah Persekutuan pada 9 Feb 2024 mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah. 

Panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Tengku Maimun dalam penghakiman panel berkata, mahkamah membenarkan petisyen itu kerana DUN membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya. Bagaimanapun panel memutuskan dua lagi peruntukan kesalahan adalah sah.

Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 8-1 di mana Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli, membuat keputusan berbeza.

Kedua-dua pempetisyen memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 18 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan atas alasan Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit bertindak melangkaui bidang kuasanya.

Menganggotai panel tersebut ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Turut menganggotai panel sama, Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri P Nalini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Nik Elin dan anaknya selaku pempetisyen diwakili peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar manakala Kerajaan Negeri Kelantan dinamakan selaku responden tunggal, diwakili peguam Datuk Kamaruzaman Muhammad Arif.

Berikut 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang diisytiharkan Mahkamah Persekutuan sebagai batal dan tidak sah
Seksyen 11: Memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat 
Seksyen 14: Liwat
Seksyen 16: Persetubuhan dengan mayat
Seksyen 17: Hubungan seksual dengan bukan manusia
Seksyen 31: Gangguan seksual
Seksyen 34: Memiliki dokumen palsu, memberikan keterangan, maklumat atau kenyataan palsu
Seksyen 36: Apa-apa yang memabukkan
Bahagian 39: Mengurangkan skala, ukuran dan berat
Seksyen 40: Melaksanakan transaksi yang bertentangan dengan 'hukum syarak' (undang-undang syariah)
Seksyen 41: Melaksanakan urus niaga melalui riba
Seksyen 42: Penyalahgunaan label dan konotasi halal
Seksyen 43: Menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat
Seksyen 44: Tindakan persediaan menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat
Seksyen 45: Perbuatan maksiat sebagai persediaan
Seksyen 47: Perbuatan sumbang mahram
Seksyen 48: Muncikari (lelaki berpakaian wanita atau sebaliknya, bertentangan dengan hukum syarak)

Yang diisytiharkan sah
Seksyen 13: Menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau Muslim yang tercela dari segi moral
Seksyen 30: Perkataan yang boleh memecahkan keamanan 

Pada 22 Mei 2022, peguam terbabit Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 18 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan atas alasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bertindak melangkaui bidang kuasa.

Mereka juga memohon mahkamah mengisytiharkan DUN Kelantan tidak mempunyai kuasa membuat enakmen berkaitan kesalahan jenayah syariah yang terpakai kepada orang Islam saja.

Tengku Maimun berkata, melalui Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan menggariskan perkara-yang Parlimen boleh membuat undang-undang dan perkara yang Badan Perundangan Negeri boleh membuat undang-undang.

Kuasa perundangan Persekutuan dan Negeri ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan di dalam Senarai Persekutuan dan Senarai Negeri, dan Parlimen mahu pun Badan Perundangan Negeri tidak boleh membuat undang-undang melangkaui senarai masing-masing.

Berhubung 18 peruntukan yang dicabar, Tengku Maimun berkata, prinsip undang-undang adalah mantap bahawa untuk menentukan sama ada undang-undang yang dibuat oleh Parlimen atau Badan Perundangan Negeri adalah sah dan termasuk dalam batasan kuasa perundangan masing-masing, ujian yang terpakai adalah inti pati peruntukan tersebut.

Menurut Tengku Maimun, jika dari segi inti patinya, peruntukan dibuat Badan Perundangan Negeri itu adalah perkara yang termasuk di dalam Senarai Persekutuan, maka Badan Perundangan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang berkenaan.

Beliau berkata, ujiannya bukanlah dengan membandingkan peruntukan yang dicabar itu dengan peruntukan sedia ada dalam undang-undang Persekutuan untuk menentukan sama ada terdapat ciri-ciri perbezaan pada kedua-duanya

Selepas meneliti hujahan, mahkamah memutuskan Seksyen 13 dan Seksyen 30 adalah sah kerana ia berkenaan perkara yang Badan Perundangan Negeri Kelantan mempunyai kuasa untuk membuatnya, manakala seksyen lain yang dicabar adalah tidak sah kerana inti pati peruntukan itu berhubung perkara di bawah Senarai Persekutuan yang mana hanya Parlimen mempunyai kuasa untuk membuatnya.

Seksyen 13 adalah berhubung kesalahan menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau Muslim yang tercela dari segi moral manakala Seksyen 30 membabitkan perkataan yang boleh memecahkan keamanan.

Inti pati seksyen 13 adalah berkenaan penjagaan dan untuk mengawal pengembangan doktrin dan kepercayaan dalam kalangan orang yang menganut agama Islam, yang termasuk di bawah Butiran 1 Senarai Negeri.

Ia juga berkaitan dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa negeri-negeri boleh membuat undang-undang bagi tujuan mengawal atau menyekat pengembangan doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang yang menganut agama Islam.

Demikian juga inti pati seksyen 30 adalah untuk mengawal atau menyekat pengembangan doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganut agama Islam, bukannya untuk semata-mata memecah keamanan.

Baca juga:

Kuasa, kedudukan mahkamah syariah dijamin Perlembagaan
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/bws.html
 
Usaha perkasa Mahkamah Syariah perlu bebas pengaruh politik, ekstremisme
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/btx.html
 
Perbezaan bidang kuasa menggubal undang-undang di Malaysia
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/gvv.html
 
Perbezaan istilah jenayah sivil dan syariah
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/fkk.html
 
Enakmen jenayah syariah negeri bersumberkan hukum syarak
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/fvc.html
 
Kuasa mahkamah syariah dilindungi
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/muj.html
 
Sebab 16 kesalahan syariah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 tidak sah
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/dgg.html
 
Kes Nik Elin: saya sudah kata 10 tahun lalu – Abdul Hamid
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/vfi.html 
 
Muzakarah MUU berhubung isu pembatalan 16 Seksyen Enakmen Jenayah Syariah (1) Kelantan
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/jyh.html
 
Memahami 16 kesalahan syariah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 terbatal
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/fcc.html
 
Penambahbaikan undang-undang syariah agenda berterusan
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/dcz.html
 
Kuasa, kedudukan mahkamah syariah dijamin Perlembagaan
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/bws.html
 
Usaha perkasa Mahkamah Syariah perlu bebas pengaruh politik, ekstremisme
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/btx.html 

No comments:

Post a Comment