Sunday, 15 July 2018

CARA MEMBINA KEYAKINAN DIRI

Keyakinan diri bukan anugerah. Untuk membina dan mendapat keyakinan diri perlu perlu kepada latihan dan kaedah berterusan. Memperkasakan keyakinan diri adalah satu seni yang setiap orang mempunyai tahap dan hasil berbeza.

Ada pendekatan dan amalan yang boleh dilakukan untuk membina atau mendapatkan keyakinan diri. Berikut adalah empat amalan membina keyakinan diri yang patut diamalkan.

Amalkan postur yang betul
Maksudnya berdiri tegak, angkat kepala, bergerak seolah-olah dengan bersebab, dan buat hubungan mata. Mereka yang berkeyakinan berjalan dengan bertujuan, dengan postur terbuka yang seakan-akan memberitahu dunia yang mereka bersedia untuk apa jua kemungkinan.

Sebaliknya, mereka yang membongkokkan bahu, menundukkan kepala dan berjalan perlahan dianggap tidak pasti dan suka meminta maaf. Tidak kira sesiapa yang berada di dalam bilik itu, anda harus percaya yang anda berhak berada di situ, sama seperti mereka. Bertegurlah dengan mereka dengan perasaan sedemikian dan anda akan secara automatik bercakap secara terbuka dan berdiri dengan bangga dan penuh yakin.

Bercakap dengan jelas dan meyakinkan
Kita semua pernah melalui situasi seperti ini (di sekolah, universiti, acara rangkaian) di mana seorang dua akan mengeluarkan pendapat manakala yang lain hanya diam seribu bahasa. Ini sering berlaku apabila guru bertanya, “Ada soalan?” dan kebanyakan pelajar hanya diam kerana takut akan menanya soalan yang ‘salah’.

Jangan jadi seperti itu. Bukannya anda ingin membayangi sesiapa, tetapi setiap kali terlintas sesuatu perkara yang ingin dikongsi atau mempunyai soalan untuk ditanya, bukalah mulut. Ia bukan sahaja menolong anda memantapkan kemahiran berbicara, anda juga membantu orang lain yang mungkin mempunyai idea atau soalan yang sama tetapi takut untuk bersuara. Jadi, anda akan dilihat sebagai pemimpin semula jadi, seseorang yang tidak takut untuk berada di hadapan.

Pentingkan penampilan diri
Kajian mendapati seseorang yang menitikberatkan penampilan lebih berkemungkinan untuk berjaya. Namun, ia tidak bermakna anda harus berpakaian mahal, cukup dengan memakai pakaian yang dipadankan dengan baik supaya anda kelihatan dan rasa yakin. Apabila anda menitikberatkan penampilan, begitulah cara penerimaan orang lain terhadap anda.

Sebaliknya, jika anda selalu memakai kemeja T, seluar pendek dan selipar apabila bertemu dengan orang lain, imej yang anda tunjukkan adalah ‘santai’ dan bukannya ‘sedia untuk berbicara bisnes’. Tetapi anda juga mesti lihatlah pada konteks; janganlah pula memakai sut jika anda ingin ke pantai untuk barbeku!

Bersyukur dengan apa yang ada
Fikirkan sejenak tentang apa yang anda inginkan tetapi belum berkemampuan untuk mendapatkannya. Anda mungkin rasa teringin, kesal, putus asa atau hilang harapan. Inilah mengapa rasa bersyukur begitu penting apabila ingin membina keyakinan diri, kerana ia memfokuskan perhatian anda kepada menghargai apa yang anda ada sekarang. Rasa syukur ini memberi inspirasi kepada anda untuk melangkah dengan berani menuju kejayaan yang seterusnya, dengan pengetahuan yang anda telah dirahmati dengan begitu banyak sekali.

Sebaliknya, jika anda berfokus pada benda yang tiada dalam genggaman, ia akan menjadikan anda berfikiran sempit. Anda akan kelihatan betul-betul lebih kecil kerana berjalan dengan bahu yang membongkok yang memberikan imej ‘kesian saya’.

Berdiri tegak dan berjalan dengan yakin serta bersyukurlah, akhirnya anda akan dapat menarik perhatian orang  dan peluang yang sewajarnya. Berasa yakin tidak bermakna yang anda tidak akan sesekali merasa gementar lagi. Jika anda ingin membuat pembentangan besar atau memberi ucapan dan tidak berasa gementar langsung, itu tanda yang merisaukan.

Rasa gelisah dan takut tetap akan anda alami dalam situasi tertentu. Yang perlu anda lakukan ialah menanganinya dengan meyakinkan diri bahawa anda berupaya melakukannya, anda mempunyai kebolehan yang tiada tandingan, anda calon yang terbaik untuk melaksanakan tugasan tersebut.

No comments:

Post a Comment