Sebagai umat Nabi Muhammad, setiap
Muslim mesti mengikuti jejak langkah dan apa yang diajarkan oleh baginda untuk
mencapai kejayaan hidup di dunia dan akhirat.
Sunah Rasulullah adalah panduan yang
terbaik untuk manusia, selain al-Quran yang menjadi mukjizat paling agung untuk
seluruh umat Islam dari mula sehinggalah ke hari kiamat.
Kegagalan umat Islam disebabkan
tidak mengikut al-Quran dan sunah. Umat Muhammad kini banyak yang tersasar
daripada akhlak Rasulullah.
Umat Islam semakin terikut-ikut
dengan budaya orang kafir dalam segenap aspek kehidupan yang membawa kepada
kehancuran hidup, tetapi tidak pula mencotohi perkara baik seperti kegigihan
menuntut ilmu dan bekerja.
Umat Islam perlu berlumba atau
bersaing dengan penganut agama lain dalam mengejar penguasaan ilmu dan ekonomi agar
tidak ketinggalan yang menyebabkan ditindas dan dihina. Sesungguhnya, Islam menyediakan satu cara
hidup terbaik termasuk dalam soal mencari rezeki dan mencari kemajuan.
Islam tidak menegah umatnya mengejar
mencari kekayaan, bahkan ia satu amalan yang amat dituntut dikira sebagai
ibadat jika dilakukan mengikut tuntutan agama.
Nabi Muhammad sejak kecil sudah
menggembala kambing dan berdagang untuk mencari rezeki dan baginda sentiasa
menyuruh para sahabat agar sentiasa gigih mencari rezeki. Melalui kekayaan yang
dimiliki umat Islam dapat memenuhi keperluan hidup dan membantu sesama Muslim.
Umat Islam akan lebih dihormati dan
berkuasa jika memiliki sumber kewangan yang kuat dan sekaligus tidak akan
menjadi mangsa kepada kuasa lain yang ingin memusnahkan umuat Islam.
Antara faktor yang menyokong
kejayaan dakwah Rasulullah adalah hasil bantuan kewangan yang disumbangkan oleh
para sahabat yang kaya. Mereka menyerahkan kekayaan masing-masing sebagai zakat
ataupun sedekah untuk mengembangkan Islam. Isteri Rasulullah, Siti Khadijah
adalah seorang hartawan yang banyak membantu menyerahkan segala kekayaan yang
dimiliki semata-mata untuk tujuan dakwah.
Bayangkan jika Rasulullah dan para
sahabat semuanya miskin yang tidak mampu untuk memenuhi keperluan hidup
sehingga terpaksa meminta bantuan pihak lain?
Justeru, kekayaan adalah alat untuk
meletakkan umat Islam pada kedudukan yang lebih baik. Perkara ini hanya dapat
dilaksanakan jika setiap Muslim menguasai ilmu dan berusaha gigih dalam setiap
bidang yang diceburi.
Umat Islam perlu menyimpan azam
untuk memperbaiki kehidupan agar menjadi umat terbaik di dunia dan akhirat. Namun
diakui tugas itu bukanlah mudah dan memerlukan kerja kuat, keazaman serta
keyakinan untuk berjaya. Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak
seribu dalih.
Umat Islam tidak seharusnya hanya
mengutamakan akhirat semata-mata sehingga meninggalkan langsung urusan duniawi
kerana itu lebih merugikan umat Islam di dunia dan di akhirat.
No comments:
Post a Comment