Patin gulai tempoyak adalah hidangan tradisional Melayu yang sangat
terkenal, terutama di negeri Pahang. Ia menggunakan ikan patin
yang dimasak dengan kuah yang berasaskan tempoyak. Hidangan ini digemari kerana rasa masam, pedas, dan lemak yang
seimbang, sesuai dinikmati dengan nasi putih panas.
Masakan ikan patin masak tempoyak menjadi identiti di Temerloh, Pahang. Temerloh dikenali sebagai destinasi gulai ikan patin tempoyak yang sangat terkenal. Selain Temerloh, tempat-tempat lain juga ada menjual patin tempoyak. Gulai patin tempoyak seperti di gambar adalah di Hentian Rehat dan Rawat Gambang.
Walaupun dinamakan ’gulai’, tetapi menu ini tidak menggunakan santan. Gulai ini biasanya dimasak bersama ikan, dan antara ikan-ikan yang sesuai digulai bersama tempoyak ialah ikan patin, ikan baung dan ikan jelawat (ikan sungai).
Ikan patin di negeri Pahang terkenal dengan keenakan dan kelembutan isinya kerana mempunyai persekitaran habitat yang bersesuaian.
Ikan patin mendominasi habitat di sepanjang Sungai Pahang. Bagaimana pun dengan adanya teknologi moden, ikan patin mula diternak secara komersil di dalam kolam atau sangkar.
Ikan ini mempunyai pengkelasan grednya yang tersendiri mengikut kualitinya. Ikan patin kolam yang diternak adalah ikan patin yang paling mudah diperolehi dan murah harganya.
Ikan patin sangkar pula diletakkan sebagai gred kelas kedua kerana ia diternak dalam sangkar yang diletakkan di dalam sungai yang berarus dan menerima aliran air berterusan seperti di Temerloh, Pahang.
Jenis ikan patin ketiga adalah patin buah. Ikan ini tinggal di kawasan lubuk-lubuk tertentu di dalam sungai. Ia sama ada ditangkap menggunakan pancing atau jaring. Ikan patin ini dikategorikan dalam spesis ikan patin asli yang semakin sukar diperoleh dan mempunyai nilai dan harga yang tinggi.
Jenis keempat adalah ikan patin muncung, yang paling jarang ditemui. Spesis ini hanya boleh ditangkap dengan menggunakan jaring sahaja dan nilainya adalah yang paling tinggi di antara jenis-jenis ikan patin lainnya.
Ikan patin adalah salah satu jenis ikan sungai atau ikan air tawar. Ikan patin termasuk dalam kategori ikan yang hidup di dasar sungai dan lebih banyak mencari makan pada waktu malam.
Ia memiliki bentuk yang unik. Badannya panjang dan sedikit memipih, berwarna putih perak dengan punggung berwarna kebiru-biruan, tidak bersisik, mulutnya kecil, memiliki dua hingga empat pasang sesungut yang berfungsi sebagai alat peraba.
Tempoyak dihasilkan daripada isi buah durian. Isi durian ini diasingkan daripada bijinya dan ditambah dengan sedikit garam dan diperam selama tiga hingga lima hari dalam suhu bilik untuk proses penapaian.
Tempoyak biasanya tidak dimakan begitu sahaja tetapi dibuat sambal atau dimasukkan ke dalam masakan seperti gulai tempoyak ikan patin.
No comments:
Post a Comment