Monday 19 February 2024

Kuasa mahkamah syariah dijamin Perlembagaan

 
Mahkmah kehakiman Persekutuan di bawah Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan, termasuk Mahkamah Persekutuan pada hari ini adalah ciptaan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957.
 
Sumber kuasa kehakiman Persekutuan pada peringkat awal ialah Bab Tujuh Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. Namun, bahagian itu tidak terpakai ke atas negeri Melayu apabila menyentuh hukum syarak dan adat Melayu melainkan dalam perkara tersenarai di bawah kuasa perundangan dan eksekutif Persekutuan.
 
Kuasa kehakiman Persekutuan wujud kerana bidang kuasanya diberikan menurut Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. Sebelum 1 Februari 1948, semua kuasa kehakiman adalah terletak hak di bawah bidang kuasa negeri di Tanah Melayu.
 
Negeri Melayu sudah mempunyai sistem kehakiman tersendiri. Contohnya, Terengganu menjelang 1909 mempunyai struktur mahkamah yang maha tinggi, mahkamah balai, mahkamah syariah dan mahkamah penghulu.
 
Semua mahkamah itu melaksanakan perundangan Islam walaupun selepas berlaku campur tangan British bermula penubuhan mahkamah bersama seawal 1910 yang diiktiraf setaraf dengan Mahkamah Balai.
 
Perlu dinyatakan meskipun sistem kehakiman di Tanah Melayu kemudian dipengaruhi hakim terlatih dengan prinsip English Common Law dan kaedah ekuiti, pemakaian prinsip dan kaedah berkenaan tersyarat pada keadaan tempatan yang membenarkannya, tidak terpakai secara mutlak. Prinsip itu akhirnya terakam dalam Seksyen 3 Akta Undang-Undang Sivil 1956 (semakan 1972).
 
Ringkasnya, bidang kuasa sedia ada (inherent jurisdiction) mahkamah di Tanah Melayu yang melaksanakan fungsi kuasa undang-undang awam dan peribadi (diri) adalah bersumberkan undang-undang tempatan bukan doktrin demokrasi Westminster.
 
Undang-undang tempatan di Tanah Melayu adalah hukum syarak dan adat Melayu. Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 menubuhkan sebuah Kerajaan Persekutuan bagi tempoh interim, sementara proses pembentukan sebuah persekutuan berkerajaan sendiri dimuktamadkan berlandaskan kuasa kedaulatan Raja-Raja Melayu seperti ditakrifkan dalam setiap Perjanjian Negeri 1948.
 
Fasal 15 Perjanjian Negeri 1948 memperuntukkan prinsip kedaulatan di negeri Melayu adalah prerogatif, bidang kuasa dan kuasa dimiliki seorang Raja Melayu seperti pada 1 Disember 1941.
 
Buku berjudul Kedaulatan Raja-Raja Melayu: Jurisprudens, Governan & Prinsip Perlembagaan Persekutuan (2018) menunjukkan kedudukan Raja Melayu masih kekal sebagai seorang khalifah.
 
Kuasa kedaulatan inilah menggubal Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan pindaan selepasnya.
 
Mahkamah Persekutuan dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Kerajaan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara (2021) memutuskan pindaan Perlembagaan Persekutuan ke atas Perkara 66(4A) tidak menghapuskan perkenan Diraja dalam penggubalan undang-undang Persekutuan.
 
Penubuhan sistem mahkamah pada peringkat Persekutuan melalui kuat kuasa Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 tidak memansuhkan kedudukan mahkamah syariah, dikenali juga dahulunya sebagai mahkamah orang Islam yang membicarakan undang-undang peribadi orang Islam.
 
Kedudukan itu terpelihara menurut Fasal 5 Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang berbunyi: "Except as provided in Clauses 100 and 101 in this Agreement, nothing in this Agreement (including the Schedules thereto) shall apply in any Malay states to matters relating to the Muslim Religion or the custom of the Malays, concerning any matter before it."
 
Penubuhan dan sumber kuasa mahkamah kehakiman Persekutuan diperuntukkan dalam Perkara 121 dan Butiran 4 Senarai I Jadual Kesembilan. Mahkamah kehakiman Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa yang secara khususnya dinyatakan dalam Perkara 121(1A) serta Butiran 4(a) dan (k) Senarai I, dan Butiran 1 Senarai II Jadual Kesembilan. Butiran 4(k) Senarai I berbunyi: "Penentuan hukum syarak dan undang-undang diri yang lain bagi maksud undang undang Persekutuan."
 
Antara perkara yang tidak dimasukkan dalam butiran bidang kuasa mahkamah kehakiman Persekutuan adalah undang-undang diri orang Islam. Akta Mahkamah Kehakiman 1964 juga tertakluk pada peruntukan di atas.
 
Sebaliknya kuasa perundangan negeri adalah lebih luas daripada apa yang termaktub dalam Senarai II Jadual Kesembilan. Perkara 77 memperuntukkan kuasa badan perundangan negeri untuk menggubal undang-undang selain daripada yang termaktub dalam Jadual Kesembilan.
 
Oleh itu, badan perundangan negeri boleh memberikan kuasa semakan kehakiman mahkamah syariah ke atas institusi dan jawatankuasa seperti Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang menjadi isu pada hari ini.
 
Sebagai penerima bidang kuasa undang-undang dari negeri, maka apabila berlaku isu bidang kuasa antara mahkamah kehakiman Persekutuan dengan badan perundangan negeri, mahkamah kehakiman Persekutuan perlu terlebih dahulu memeriksa takat bidang kuasanya.
 
Mahkamah kehakiman Persekutuan tidak diberikan kuasa seluas badan perundangan negeri yang memiliki kuasa penggubalan baki perundangan.
 
Sekiranya mahkamah kehakiman Persekutuan dibataskan bidang kuasanya berdasarkan Butiran 4(k) Senarai I, maka adakah Mahkamah Persekutuan boleh mentafsir sendiri kuasa sedia ada mahkamah tanpa terikat dengan prinsip keluhuran perlembagaan dan merujuk kepada sumber asal kuasa diperolehnya?
 
Seperti mahkamah kehakiman Persekutuan, mahkamah syariah juga perlu diupayakan dengan kuasa semakan kehakiman untuk melaksanakan kewajipan di bawah bidang kuasanya.
 
Kedudukan mahkamah syariah tidak boleh dipertikaikan hanya kerana jaminan kebebasan kehakimannya tidak seperti dinikmati mahkamah kehakiman Persekutuan.
Mahkamah syariah tidak dicipta Perlembagaan Persekutuan, sebaliknya kedudukan dijamin olehnya.
 
Kesimpulannya, kuasa semakan kehakiman mahkamah syariah boleh digubal badan perundangan negeri tanpa memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan.
 
Kuasa semakan kehakiman adalah dimiliki oleh mahkamah kehakiman Persekutuan dan mahkamah syariah mengikut bidang kuasa masing-masing. Semua pihak perlu patuh kepada prinsip keluhuran Perlembagaan.

Gambar sekadar hiasan 

Baca juga:

Kuasa, kedudukan mahkamah syariah dijamin Perlembagaan
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/bws.html
 
Usaha perkasa Mahkamah Syariah perlu bebas pengaruh politik, ekstremisme
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/btx.html
 
Perbezaan bidang kuasa menggubal undang-undang di Malaysia
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/gvv.html
 
Perbezaan istilah jenayah sivil dan syariah
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/fkk.html
 
Enakmen jenayah syariah negeri bersumberkan hukum syarak
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/fvc.html
 
Kuasa mahkamah syariah dilindungi
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/muj.html
 
Sebab 16 kesalahan syariah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 tidak sah
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/dgg.html
 
Kes Nik Elin: saya sudah kata 10 tahun lalu – Abdul Hamid
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/vfi.html 
 
Muzakarah MUU berhubung isu pembatalan 16 Seksyen Enakmen Jenayah Syariah (1) Kelantan
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/jyh.html
 
Memahami 16 kesalahan syariah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 terbatal
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/fcc.html
 
Penambahbaikan undang-undang syariah agenda berterusan
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/dcz.html
 
Kuasa, kedudukan mahkamah syariah dijamin Perlembagaan
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/bws.html
 
Usaha perkasa Mahkamah Syariah perlu bebas pengaruh politik, ekstremisme
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/btx.html 

No comments:

Post a Comment