Monday 19 February 2024

TAMBAH BAIK UNDANG-UNDANG SYARIAH AGENDA BERTERUSAN

 
Apabila disebut mengenai syariah, banyak orang yang faham ia datang daripada wahyu Allah, al-Quran dan sunah. Dalam konteks di Malaysia, walaupun jenayah syariah ada terkandung kesalahan hudud seperti zina dan minum arak, pelaksanaan hukuman itu mengikut takzir, bidang kuasa di bawah Mahkamah Syariah, iaitu penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan, seperti diperuntukkan dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984) (Akta 355).
 
Justeru, keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Feb 2024 mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah, bukan bermaksud menafikan kesalahan jenayah syariah bersumberkan al-Quran dan sunah.
 
Sebenarnya 16 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 diputuskan sebagai tidak sah, terbatal dan menyalahi Perlembagaan itu, sebilangan besar bidang kuasanya nampak dengan jelas terletak di bawah Persekutuan.
 
Sebagai contoh, dalam Seksyen 39 enakmen berkenaan, mengurangkan skala, ukuran dan berat; Seksyen 40, melakukan transaksi muamalat berlawanan dengan hukum syarak; Seksyen 41, melaksanakan urus niaga melalui riba dan Seksyen 42, penyalahgunaan label dan konotasi halal, ini semua bukan bidang kuasa negeri, sebaliknya di bawah Persekutuan.
 
Mengenai halal itu, ia di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dan hal ehwal berkaitan perkhidmatan kewangan Islam itu di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013. Sebenarnya, ia sudah melangkaui kuasa diberi kepada negeri untuk membuat perundangan itu.
 
Tindakan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman membuat petisyen memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 18 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan atas alasan Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit bertindak melangkaui bidang kuasanya bukan bermakna menentang hukum syariah atau terpengaruh dengan fahaman sekular.
 
Apa yang berlaku adalah berkaitan undang-undang yang telah lama diguna pakai di Malaysia. Sebenarnya, sebelum ini ia tidak disedari telah wujud kesalahan kerana tidak ada pihak yang membuat petisyen mengenainya. Ia berkaitan undang-undang dan bukannya menyebabkan kita keluar daripada Islam.
 
Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 masih wujud, kecuali 16 seksyen yang telah terbatal dan tidak sah itu. Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 ada 68 seksyen dan hanya 16 diputuskan tidak sah dan terbatal.
 
Kesalahan di bawah 16 seksyen yang dibatalkan itu bukan bermakna ia boleh dilakukan selepas ini. Ia tetap menjadi satu kesalahan kerana kesalahan tersebut telah ada mengikut Kanun Kesiksaan dan dibicarakan di Mahkamah Sivil.
 
Memang tidak dinafikan perbicaraan di Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil tidak sama dalam beberapa perkara seperti takrif kesalahan dan saksi, ia tidak pula bermakna orang Islam boleh menggunakan perbezaan itu sewenang-wenangnya untuk bebas daripada hukuman.
 
Sebenarnya apa sahaja undang-undang, sama ada di bawah Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil, selagi ia tidak bercanggah dengan hukum syarak, maka ia Islamik. Maka, dakwaan mengatakan Malaysia semakin sekular susulan keputusan kes ini adalah pandangan kurang memahami kedudukan Islam dalam Perlembagaan.
 
Kedudukan Mahkamah Syariah tidak terjejas. Kewujudan Mahkamah Syariah dijamin oleh Perlembagaan bahkan tidak boleh diganggu Mahkamah Sivil mengikut Perkara 121(1A) Perlembagaan.
 
Kita berhasrat untuk melakukan kebaikan dalam semua perkara. Pada hakikatnya, semua kebaikan yang dilakukan dan tidak bertentangan dengan hukum Islam, ia menepati tuntutan agama. Jika diniatkan kerana Allah, maka ia tetap mendatangkan pahala.  
 
Bila kita sebut undang-undang syariah, tidak semestinya dalam bidang kuasa negeri atau mahkamah syariah sahaja. Sebagai contoh, mengenai halal, ia adalah isu syariah, tetapi tidak berada di bawah bidang kuasa mahkamah syariah dan DUN untuk menjatuhkan hukuman.
 
Mengenai haji, ia di bawah menteri yang bertanggungjawab di Persekutuan. Begitu juga dengan perbankan dan kewangan Islam. Justeru, adakah ini dianggap tidak syariah?
 
Terdapat tiga jenis hukuman di bawah undang-undang Islam iaitu hudud, qisas dan takzir. Hudud adalah hukuman yang telah ditentu dan ditetapkan oleh Allah manakala qisas ialah hukuman yang dikenakan hukuman balas seperti nyawa dibalas dengan nyawa dan melukakan dibalas dengan melukakan.
 
Seperti hudud, qisas juga ditentukan oleh Allah. Perbezaan antara hudud dan qisas ialah hukuman qisas ini hendaklah dituntut oleh mangsa atau keluarga mangsa. Diyat yang bermaksud pampasan atau ganti rugi adalah sebahagian daripada hukuman qisas.
 
Takzir pula adalah hukuman yang tidak ditentukan oleh Allah tetapi kadar dan bentuk hukuman ditentukan oleh kerajaan atau pemerintah dan akan dijatuhkan kepada penjenayah mengikut budi bicara hakim.
 
Setakat hari ini, Mahkamah Syariah di Malaysia tidak melaksanakan hukuman hudud atau qisas tetapi hanya takzir, sama seperti Mahkamah Sivil.
 
Justeru, tidak ada bezanya Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil kerana kedua-dua sistem melaksanakan hukuman takzir.
 
Sebenarnya, Kanun Keseksaan memperlihatkan ciri-ciri Islamik. Ia mengandungi qisas (balas bunuh) dan selepas ini ada alternatif, digantikan dengan diyat. Yang lain itu adalah hukuman takzir.
 
Justeru, jangan mudah bertindak melulu atau seperti telah dihalang melaksanakan hukum Islam semata-mata keputusan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.
 
Apabila menyebut mengenai sifat sejagat dan prinsip undang-undang syariah, ia bukan terletak kepada 'jenama'. Jika kita menjenamakan ia sebagai syariah, maka ia jadi syariah. Jika tidak berjenama syariah, maka ia bukan syariah. Tidak boleh begitu. Prinsip perundangan Islam mengandungi prinsip sejagat merentas budaya, bangsa dan agama.
 
Asas utama dalam prinsip perundangan Islam adalah menegakkan keadilan dan menunaikan hak kepada orang berhak. Yang menjadikan sesuatu undang-undang itu syariah bukan hanya kerana label Islam, tetapi kerana matlamat keadilan ditegakkan. Perkara ini bukan sahaja perlu diterangkan kepada orang bukan Islam, malah kepada orang Islam juga.
 
Seluruh umat Islam di Malaysia perlu menerima keputusan mahkamah ini tapi tidak semestinya tidak, mengambil apa-apa langkah susulan. Sepatutnya ia dijadikan titik untuk seluruh pembuat undang-undang (Ahli Parlimen mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri), ulama, pakar undang-undang dan pentadbir bersatu untuk memperkasakan kedudukan Islam di Malaysia dalam semua perkara, termasuk bidang kuasa Mahkamah Syariah.
 
Dalam keputusan kes Nik Elin ini, mahkamah sebenarnya cuba menyampaikan sesuatu yang positif. Daripada kes Indira Ghandi, kes Sisters in Islam (SIS), kes Iki Putra Mubarak sehinggalah kes dibawa Nik Elin, sebenarnya ada sesuatu perlu diperbetulkan dan ia perlu dikembalikan ke jalan betul. 

Sesuatu kebiasaan tidak semestinya betul. Kata kuncinya ialah penambahbaikan atau transformasi atau reformasi. Semua itu membawa maksud penambahbaikan. Agenda penambahbaikan undang-undang adalah proses berterusan dan berpanjangan.

Baca juga:

Kuasa, kedudukan mahkamah syariah dijamin Perlembagaan
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/bws.html
 
Usaha perkasa Mahkamah Syariah perlu bebas pengaruh politik, ekstremisme
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/btx.html
 
Perbezaan bidang kuasa menggubal undang-undang di Malaysia
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/gvv.html
 
Perbezaan istilah jenayah sivil dan syariah
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/fkk.html
 
Enakmen jenayah syariah negeri bersumberkan hukum syarak
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/fvc.html
 
Kuasa mahkamah syariah dilindungi
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/muj.html
 
Sebab 16 kesalahan syariah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 tidak sah
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/dgg.html
 
Kes Nik Elin: saya sudah kata 10 tahun lalu – Abdul Hamid
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/vfi.html 
 
Muzakarah MUU berhubung isu pembatalan 16 Seksyen Enakmen Jenayah Syariah (1) Kelantan
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/jyh.html
 
Memahami 16 kesalahan syariah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 terbatal
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/fcc.html
 
Penambahbaikan undang-undang syariah agenda berterusan
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/dcz.html
 
Kuasa, kedudukan mahkamah syariah dijamin Perlembagaan
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/bws.html
 
Usaha perkasa Mahkamah Syariah perlu bebas pengaruh politik, ekstremisme
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/btx.html 

No comments:

Post a Comment