Friday 16 February 2024

Memahami 16 seksyen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan terbatal

 
Keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Feb 2024 mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah, tidak menjejaskan fungsi dan kuasa Mahkamah Syariah.
 
Kewujudan Mahkamah Syariah dijamin oleh Perlembagaan bahkan tidak boleh diganggu Mahkamah Sivil mengikut Perkara 121(1A) Perlembagaan.
 
Perkara yang diputuskan dalam isu tersebuat ialah sama ada Badan Perundangan Negeri Kelantan membuat peruntukan terbabit mengikut batasan ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan atau sebaliknya.
 
Justeru, sama ada Islam atau Mahkamah Syariah dipertahan atau sebaliknya bukan persoalan di dalam kes ini.
 
Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid mengemukakan petisyen terhadap 18 seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 bersama anak perempuannya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman ke Mahkamah Persekutuan mengikut Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan serta menamakan Kerajaan Negeri Kelantan sebagai responden tunggal.
 
Mereka mencabar keperlembagaan dan kesahihan 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 serta mendakwa Dewan Undangan Negeri Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang ke atas 18 kesalahan terbabit kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang meliputi kesalahan sama.
 
Jika ada pihak mencabar undang-undang digubal oleh Badan Perundangan Negeri yang dilaksanakan di Mahkamah Syariah atas alasan ia tidak memiliki kuasa untuk berbuat demikian dan jika Mahkamah Sivil membenarkan cabaran itu, pihak yang mencabar dan Mahkamah Sivil tidak boleh dikatakan menentang Allah SWT kerana undang-undang yang dicabar bukanlah sesuatu yang ditentukan atau ditetapkan oleh Allah SWT sebaliknya oleh Badan Perundangan Negeri.
 
Jika isu pencabaran undang-undang yang diluluskan oleh kerajaan negeri atau badan perundangan negeri dilihat dari sudut ini maka tidak timbul soal Mahkamah Sivil tidak mempertahan kedudukan agama Islam atau tidak memperkasakan Mahkamah Syariah.
 
Maka melihat kepada cabaran ini sahaja, Mahkamah Syariah atau undang-undang Islam di Malaysia tidak akan pada bila-bila masa berkubur dan diletakkan batu nisan.
 
Perlembagaan Persekutuan telah menjamin kuasa perundangan kepada semua kerajaan negeri untuk menggubal undang-undang yang dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah.
 
Ditegaskan sekali lagi bahawa apa yang dicabar dalam petisyen ini bukanlah kedudukan undang-undang Syariah di Malaysia.
 
Dakwaan pempetisyen adalah khusus terhadap tindakan Badan Perundangan Negeri Kelantan, yang mengikut hujahan pempetisyen telah melangkaui kuasa berkenaan jenis-jenis kesalahan yang boleh diluluskan oleh Kerajaan Negeri dalam ruang lingkup yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
 
Terdapat tiga jenis hukuman di bawah undang-undang Islam iaitu hudud, qisas dan takzir. Hudud adalah hukuman yang telah ditentu dan ditetapkan oleh Allah manakala qisas ialah hukuman yang dikenakan hukuman balas seperti nyawa dibalas dengan nyawa dan melukakan dibalas dengan melukakan.
 
Seperti hudud, qisas juga ditentukan oleh Allah. Perbezaan antara hudud dan qisas ialah hukuman qisas ini hendaklah dituntut oleh mangsa atau keluarga mangsa. Diyat yang bermaksud pampasan atau ganti rugi adalah sebahagian daripada hukuman qisas.
 
Takzir pula adalah hukuman yang tidak ditentukan oleh Allah tetapi kadar dan bentuk hukuman ditentukan oleh kerajaan atau pemerintah dan akan dijatuhkan kepada penjenayah mengikut budi bicara hakim.
 
Setakat hari ini, Mahkamah Syariah di Malaysia tidak melaksanakan hukuman hudud atau qisas tetapi hanya takzir, sama seperti Mahkamah Sivil.
 
Justeru, tidak ada bezanya Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil kerana kedua-dua sistem melaksanakan hukuman takzir.
 
Perbezaannya cuma hukuman takzir yang dilaksana oleh Mahkamah Syariah adalah bersumberkan atau mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh pemerintah di peringkat negeri dan diluluskan oleh Badan Perundangan Negeri manakala hukuman takzir yang dilaksana oleh Mahkamah Sivil adalah mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh pemerintah di peringkat Persekutuan dan diluluskan oleh Parlimen.
 
Hukuman takzir Mahkamah Syariah adalah tertakluk kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) yang setakat hari ini mengehadkan hukuman penjara kepada tempoh tidak melebihi tiga tahun, denda tidak melebihi RM5, 000 dan sebat tidak melebihi enam kali.

 

Baca juga:

Kuasa, kedudukan mahkamah syariah dijamin Perlembagaan
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/bws.html
 
Usaha perkasa Mahkamah Syariah perlu bebas pengaruh politik, ekstremisme
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/btx.html
 
Perbezaan bidang kuasa menggubal undang-undang di Malaysia
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/gvv.html
 
Perbezaan istilah jenayah sivil dan syariah
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/fkk.html
 
Enakmen jenayah syariah negeri bersumberkan hukum syarak
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/fvc.html
 
Kuasa mahkamah syariah dilindungi
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/muj.html
 
Sebab 16 kesalahan syariah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 tidak sah
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/dgg.html
 
Kes Nik Elin: saya sudah kata 10 tahun lalu – Abdul Hamid
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/vfi.html 
 
Muzakarah MUU berhubung isu pembatalan 16 Seksyen Enakmen Jenayah Syariah (1) Kelantan
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/jyh.html
 
Memahami 16 kesalahan syariah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 terbatal
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/fcc.html
 
Penambahbaikan undang-undang syariah agenda berterusan
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/dcz.html
 
Kuasa, kedudukan mahkamah syariah dijamin Perlembagaan
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/bws.html
 
Usaha perkasa Mahkamah Syariah perlu bebas pengaruh politik, ekstremisme
https://lwaliman.blogspot.com/2024/02/btx.html 

No comments:

Post a Comment